Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LAPORAN KHAS I Di Kampung Baru Ringlet, salah sebuah penempatan terawal di Cameron Highlands, sebuah motosikal melalui laluan sempit dan melepasi deretan-deretan rumah.

Penunggang motosikal berkenaan melihat runtuhan batu dan timbunan-timbunan kayu reput  antara deretan rumah yang menjadi pemandangan biasa di kawasan itu.

Ia sekali gus mengingatkannya kepada banjir lumpur yang melanda pekan Ringlet dan Lembah Bertam pada malam 5 November 2014. 

Lebih dua tahun berlalu, bencana yang mengorbankan tiga nyawa itu masih jelas terukir dalam ingatan penduduk yang kini berjuang untuk membina semula kehidupan mereka.

K Selvathuraj, yang tinggal di Kampung Baru Ringlet dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, masih ingat bagaimana air lumpur melimpah masuk ke rumahnya tanpa sebarang amaran pada malam kejadian.

"Air merosakkan rumah dan dinding. Kami tak boleh keluar dari rumah kami sehingga air surut selepas satu jam," kata Selvathurai.

Sesetengah penduduk kehilangan harta benda, manakala yang lain kehilangan tempat tinggal mereka.

Selvathuraj (foto) berjaya membaiki semula rumahnya yang rosak, tetapi terpaksa menanggung kos membaik pulih yang tinggi.

"Kerajaan hanya berikan RM5,000 tetapi saya menghabiskan RM30,000 untuk membaiki rumah dan membeli segala-galanya," kata Selvathurai sambil menunjuk ke arah rumah yang dibeli dalam tahun 80-an.

Penduduk yang lebih malang tidak menerima sebarang pampasan.

Menurut Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Kumar, pampasan hanya diberi kepada mereka yang mempunyai hak milik tanah kekal tetapi tidak bagi mereka yang mempunyai lesen menduduki sementara (TOL).

Selepas banjir 2014, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Cameron Highlands meminta penduduk yang tinggal di tepi sungai dipindahkan bagi projek pelebaran sungai yang masih belum bermula.

Di Lembah Bertam, tiga keluarga terbabit yang ditemui Malaysiakini berkata mereka kehilangan rumah semasa banjir 2014 dan masih bergelut untuk mencari tempat bertapak.

Pada awal tahun 2015, tiga keluarga ini mereka menerima berita gembira apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjanji akan memberikan mereka rumah baru di bawah Program Pembangunan Kawasan (PPK).

Menurut kementerian itu, PPK bertujuan menempatkan semula penduduk yang terlibat dengan "bencana alam, ancaman keselamatan, ancaman kesihatan dan tanpa kemudahan asas".

Keluarga berkenaan berpindah ke kawasan projek itu berdekatan lebuhraya Ringlet- Sungai Koyan. Namun mereka jelas berasa kecewa selepas mendapati tiada bekalan elektrik atau air di situ, malah terpaksa berulang-alik ke pekan Lembah Bertam sejauh 9 kilometer.

Keluarga Azizah Nasarudin, Nabjiah Ngaliman dan Sapiah Bakar akhirnya mengambil keputusan keluar daripada rumah PPK berkenaan semasa bulan Ramadan 2015.

Mereka memilih untuk menyewa sebuah rumah di pekan Lembah Bertam, walaupun kos yang tinggi untuk menyewa di Cameron Highlands.

"Kami terpaksa berbuat demikian kerana tak ada elektrik dan air di rumah PPK dan sukar bagi kami kerana kami berpuasa," kata Azizah, 39 (gambar) yang juga ibu kepada empat anak.

Keluarga Azizah dan dua keluarga lain kini menetap di sebuah rumah sewa di Lembah Bertam dengan setiap keluarga berkongsi membayar sewa RM1,800 sebulan. Azizah, bersama-sama dengan pasangan dan anak-anaknya tidur di bilik yang sama, di mana dia juga memasak di situ.

Nabjiah mengeluh kerana kerajaan berjanji menyediakan bekalan air dan elektrik dalam tempoh enam bulan apabila mereka berpindah ke projek PPK. Namun tujuh bulan berlalu, tiada apa yang berlaku.

Keluarga Nabjiah (foto) tidak lagi dapat hidup dalam keadaan itu dan akhirnya membuat keputusan keluar bersama keluarga lain, walaupun mereka sedar menyewa sebuah rumah akan menambahkan lagi beban kewangan mereka.

Ibu kepada dua orang anak itu juga mengalami kesukaran membayar yuran dan belanja sekolah anak-anak kerana pendapatan beliau dan suami hanya kira-kira RM1,600 sebulan.

"Anak saya belajar di Unimas, dengan pinjaman PTPTN, tapi ia tak mencukupi. Saya juga tidak mampu beri anak saya lebih daripada RM300 setiap bulan untuk belanja, kecuali ada sesuatu kecemasan," kata Nabilah dengan linangan air mata.

Beliau berkata, walaupun ketiga-tiga keluarga itu berkongsi rumah dan satu tandas, mereka berpuas hati dengan kemudahan asas di situ.

"Ia sukar, tapi kami tak ada pilihan kerana kos lebih daripada RM1,000 untuk menyewa rumah," kata Nabjiah.

Sapiah, 66, seorang ibu tunggal yang tinggal bersama salah seorang daripada enam anaknya, berkata dia sukar untuk ke tempat kerja ketika berada di rumah PPK.

"Macam mana mereka nak kita tinggal di sana sedangkan tiada elektrik dan air? Saya juga terpaksa bergantung kepada anak-anak, "kata Sapiah (foto) sambil menambah mereka terpaksa bergantung kepada penjana elektrik.

Jarak dari rumah ke bandar juga menyukarkan Sapiah, yang menjual nasi lemak di bandar untuk meneruskan hidup.

Tiga keluarga itu masih mengharapkan bantuan kerajaan, tetapi buat masa ini, mereka perlu bersesak untuk tinggal bersama dalam sebuah rumah.

Lihat Komen
ADS