Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
India minta bantuan M'sia banteras keganasan
Diterbitkan:  Apr 2, 2017 2:10 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

India meminta bantuan Malaysia untuk memerangi keganasan berikutan peningkatan ancaman militan, kata Perdana Menteri India Narendra Modi.

"Ini adalah cabaran yang boleh mengancam ekonomi dan kestabilan. Oleh itu ia memerlukan negara-negara lain untuk bekerjasama dan kami mahu meneruskan kerjasama kami dalam usaha anti keganasan bersama Malaysia," kata beliau.

Bercakap pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, Modi berkata beliau mendapat inspirasi terutamanya daripada usaha Najib untuk membanteras keganasan.

Beliau berkata Najib merupakan tokoh yang memberi inspirasi dalam memerangi keganasan dan India ingin belajar daripada pengalamannya.

Dalam hal ini, Najib yang sedang dalam lawatan rasmi enam hari ke India, menawarkan pengalaman Malaysia untuk memerangi keganasan, sambil menambah ia adalah penting untuk membanteras ancaman ini, termasuk daripada kumpulan pengganas Daesh.

"Kita perlu bekerjasama untuk menjadikan dunia ini selamat. Perdana Menteri Modi mahu tahu kejayaan kita membasmi radikalisasi dan saya memberi beliau sebuah buku mengenai kejayaan kita, dan kita akan kongsikan pengalaman kita pada satu persidangan khas mengenai keganasan," katanya.

Pada sidang media yang sama, Najib berkata Indian Railway Construction Company (Ircon) telah menunjukkan minatnya untuk menyertai projek landasan baharu Seremban-Pelabuhan Klang.

Beliau berkata India juga menunjukkan minat untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia sementara membenarkan lebih banyak penerbangan dari Malaysia ke negara itu.

Dalam aspek lain, Modi juga mengalu-alukan perkembangan mengenai kaedah perubatan Ayurveda yang berasal dari India ditawarkan kepada pihak Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Disember lepas, Institut Kebangsaan Ayurveda India (NIA) dan UTAR menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama di dalam kajian dan mempopularkan perubatan Ayurveda di Malaysia.

MoU itu juga akan membolehkan NIA untuk membantu UTAR dalam menubuhkan sebuah Fakulti Ayurveda bagi program ijazah Sarjana Muda dan Sarjana untuk Ayurveda di Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS