Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri minta Zamihan disiasat
Diterbitkan:  Apr 3, 2017 9:00 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Mufti Perlis berpendapat, penggunaan istilah "kafir harbi" tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana ia memberi kesan besar kepada keselamatan.

Kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, istilah berkenaan merujuk kepada seseorang bukan Islam yang boleh diperangi dan halal untuk dibunuh.

Malah, katanya, penggunaan istilah itu turut digunakan pengganas Isis.

"Seruan (dengan melabelkan seseorang itu sebagai kafir harbi) boleh menimbulkan pertumpahan darah dan slogan yang sama inilah digunakan Isis," katanya di Facebook semalam.

Mohd Asri mengulas ucapan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain, yang menyentuh mengenai isu rang undang-undang bagi meminda Akta 355.

Dalam ucapannya itu - dipercayai di suatu majlis ceramah agama - Zamihan mengingatkan orang Islam supaya tidak menyokong DAP dan MCA.

"Saya ingin pesan kepada tuan-tuan, jangan sokong parti orang kafir yang menetang RUU355.

"Hari ini parti orang kafir yang menentang RUU355 ialah DAP, dan ada juga pemimpin MCA. Tuan-tuan jangan menyokong pemimpin dari kalangan parti-parti ini kerana merera menentang pelaksaan undang-undang Islam di (Malaysia ini).

"Mereka adalah pemimpin kafir harbi. Jika tuan-tuan sokong (mereka), saya khuatir tuan-tuan pasti akan disambar api neraka," katanya.

Menurut Mohd Asri, perkataan "kafir harbi" bukan boleh dijadikan mainan dan membawa implikasi sangat bahaya kepada keselamatan.

"Hanya pihak ulul amri (pihak berkuasa) yang berhak untuk isytihar hal ini dalam kerangka sesebuah negara.

"Seruan seperti ini boleh menimbulkan penumpahan darah dan slogan yang sama inilah yang digunakan oleh Isis," katanya.

Menurut beliau lagi, jika selepas ini ada mana-mana pihak yang mengambil "tindakan berdarah" ke atas pemimpin MCA dan seumapamnya, Zamihan patut bertanggungjawab.

Mohd Asri juga hairan kerana Zamihan - yang memang mempunyai sejarah panjang berseteru dengan beliau - dijadikan rujukan dalam isu keselamatan negara dan bertugas di Kementerian Dalam Negeri.

"Saya menggesa suatu siasatan dibuka (dijalankan) berkaitan ucapan yang seperti ini," katanya.

Menurut beliau, seseorang boleh tidak sependapat dengan kenyataan sesetengah pihak bukan Islam namun ia perlu ditangani mengikut undang-undang.

"Tapi kita tidak boleh dengan semudahnya menyeru kepada penumpahan darah mereka. Negara mempunyai peraturan," katanya.

Lihat Komen
ADS