Jangan gunakan FDI sebagai 'senjata politik', kata Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tidak menggunakan isu pelaburan langsung asing (FDI) sebagai 'senjata politik'.
Lim berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak berminat untuk mempolitikkan isu FDI dengan Najib.
"FDI terlalu penting (sebagai) suatu isu ekonomi dan kehidupan untuk 30 juta rakyat Malaysia (untuk digunakan) sebagai senjata terhadap lawan politik," jelas Lim dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata demikian sebagai tindak balas kepada kenyataan Najib dalam blog beliau baru-baru ini dengan perdana menteri mengatakan ramai pelabur asing telah meninggalkan Pulau Pinang dan mendakwa Lim menuduh kerajaan persekutuan 'menjual negara' ini tatkala ramai warga asing melabur dalam projek-projek Persekutuan.
Lim menafikan dakwaan Najib mengenai pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang atau tidak lagi berminat untuk melabur di negeri itu.
Beliau memetik maklumat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari tahun 2008 hingga 2016 yang menyatakan Pulau Pinang menjadi pilihan ketiga untuk FDI di Malaysia dengan pelaburan RM41,554 juta selepas Johor dan Sarawak.
"Jika Pulau Pinang bermasalah, maka 11 negeri lain di Malaysia yang mempunyai kurang FDI berada dalam masalah yang lebih besar," katanya.

