Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5,052 kes penderaan seksual kanak-kanak sejak lima tahun - Rohani

Sejumlah 5,052 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di negara ini dalam tempoh lima tahun terakhir dan kebanyakan pesalah terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau yang rapat dengan mereka termasuk pedofilia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu Dewan Rakyat, walaupun tidak semua kes penderaan seksual melibatkan pedofilia, peningkatan kes menunjukkan ancaman golongan itu perlu diberi perhatian serius.

"Perdana Menteri semasa sambutan Hari Wanita 2016 telah mengarahkan agar pasukan petugas khas ditubuhkan bagi meneliti perkara ini.

"Hasil dari tindakan pasukan itu, satu Rang Undang-undang
Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 akan dibahaskan hari ini," katanya menjawap soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) semasa sesi soal jawab.

Rohani berkata dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini juga, kes penderaan seksual kanak-kanak telah menunjukkan trend peningkatan, kecuali pada 2014 dan 2015 yang sedikit menurun.

Katanya ancaman pedofilia boleh dilihat berdasarkan penggunaan dan
pendedahan teknologi yang mudah diakses seperti Facebook, instagram dan twitter.

Malah, katanya, impak internet serta media sosial terhadap eksploitasi
seksual ke atas kanak-kanak oleh seorang pemangsa pedofilia amat meluas sehingga merangkumi ramai mangsa pada satu-satu masa melalui aktiviti 'cyber grooming'.

"Berdasarkan keadaan ini, kementerian melihat jenayah pedofilia adalah satu ancaman yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan saya sangat berharap rang undang-undang yang dibentangkan hari ini akan mendapat sokongan semua pihak," katanya.

Rohani juga berkata 824 kes kanak-kanak di bawah 18 tahun dilaporkan hilang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lepas.

Kementerian dan PDRM, katanya telah mengambil inisiatif merangka satu sistem amaran awal kanak-kanak yang dikenali sebagai National Urgent Response Alert atau NUR Alert di mana 11 daripada kes itu dilapor melalui sistem berkenaan.

Sistem ini merekod kehilangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan maklumat mereka yang hilang disebarkan kepada masyarakat umum secara meluas.

Ia dibuat menerusi pelbagai medium seperti laman sesawang, poster, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sistem pesanan ringkas (SMS), televisyen, akhbar, sistem pesanan bergambar (MMS) ‘electronic board’ dan papan kenyataan. -Bernama

Lihat Komen
ADS