Tiada kerja-kerja penambakan sedang dijalankan di Permatang Damar Laut yang menjadi lokasi rancangan pembikinan tiga pulau buatan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja penambakan tidak akan bermula sehingga Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Menteri berkenaan boleh yakin kami komited dan tidak akan melanggar undang-undang," kata Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam sidang media di Komtar, hari ini.

"Kami juga tidak akan membenarkan rakan kongsi projek, SRS Consortium untuk melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang," jelasnya lagi.

Chow berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai JAS tidak menerima laporan EIA bagi kerja-kerja penambakan di Pulau Pinang.

Semalam, Bernama melaporkan, Wan Junaidi berkata, JAS belum menerima laporan EIA dari pihak pemaju untuk kelulusan projek penambakan laut bagi pembinaan tiga pulau buatan di negeri itu.

Kata beliau, projek yang bermula tanpa laporan EIA boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya terhadap pemaju projek.

"Di samping itu, JAS boleh mengenakan perintah berhenti kerja atau perintah larangan bagi projek yang belum mendapatkan kelulusan EIA, ketidak patuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA atau yang menyebabkan pencemaran yang serius," kata Wan Junaidi dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap cadangan penambakan laut bagi pembinaan tiga pulau buatan di Pulau Pinang yang dikhuatiri menjejaskan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan setempat.

Menurut laporan media, projek tambakan laut berkenaan meliputi kawasan seluas 809.73 hektar di Permatang Damar Laut bagi membentuk tiga pulau buatan.

Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang sebelum ini mengkritik isu penambakan di Permatang Damar Laut kerana dijangka memberi kesan kepada kira-kira 900 nelayan.

[Baca berita penuh]