Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malindo Air nafi laporan 'buka baju'
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 1:29 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Malindo Air hari ini menafikan sebuah laporan mengenai prosedur pemeriksaan ke atas calon kru kabinnya.

Dalam kenyataan kepada media, syarikat penerbangan terbabit juga berkata, selepas siasatan dalaman dijalankan, laporan disiarkan The Malay Mail bertarikh 5 April adalah tidak benar.

"Pemeriksaan untuk mengesan parut dilakukan secara profesioal dan tertutup oleh penyelia wanita dan ia adalah sebahagian daripada proses temu duga

"Calon diberi taklimat lebih awal dan keizinan daripada setiap mereka didapatkan sebelum pemeriksaan kesan parut ketara dapat dilihat jika mereka mengenakan pakaian seragam," katanya kenyataan berkenaan tanpa menyatakan bagaimana pemeriksaan itu dibuat.

Difahamkan, prosedur sama dipraktikkan sejak empat tahun lalu dan setakat ini Malindo Air sudah mengambil lebih 700 pramugari berkeja dengan mereka.

Pagi tadi, Malindo Air menjadi perhatian ramai apabila dilaporkan meminta calon pramugari mereka membuka baju untuk pemeriksaan parut atau cacah pada sesi temu duga 11 Mac lalu.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin, mempertahankan langkah itu dan berkata, sebagai bakal majikan syarikat terbabit berhak meminta calon krunya mendedahkan dada kepada penemuduga.

Kalau terlindung, OK

Katanya, calon yang ditemu duga hanya diminta membuka baju, bukan coli seperti didakwa individu yang datang untuk mencuba nasib pada hari berkenaan.

Portal berita itu juga memetik Raja Sa'adi sebagai berkata, prosedur berkenaan perlu kerana pakaian seragam Malindo Air sebahagiannya jarang.

"Ia bukan isu. Kami ada hak untuk melakukan pemeriksaan begitu ke atas mereka. Saya rasa kebanyakan syarikat penerbangan juga melakukan pemeriksaan sama," katanya yang menegaskan, penting untuk kakitangan kabin kelihatan menarik

"Kami perlu melihat jika (calon terbabit) mempunyai parut, jerawat atau cacah yang mungkin boleh kelihatan melalui pakaian seragam.

"Kakitangan pembantu penerbangan kami memakai bengkung dan jika (tanda-tanda) itu terlindung olehnya, ia tak mengapa," katanya.

Mengenai aduan calon kru kabin itu bahawa mereka perlu menunjukkan kaki sehingga ke paras paha, beliau berkata, syarikat terbabit juga mahu tahu jika ada parut atau kesan lain boleh kelihatan ketika mereka berjalan semasa mengenakan pakaian seragam.

"Belahan (pada kain uniform Malindo Air) juga disesuaikan supaya membolehkan pemakainya bergerak dengan mudah, terutama semasa kecemasan," jelasnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Raja Sa'adi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy untuk mendapatkan komen mereka.

The Malay Mail turut memetik beberapa pramugari yang sebelum ini berkhidmat dengan syarikat penerbangan lain sebagai berkata, mereka tidak pernah berdepan dengan prosedur dianggap "mengarut dan menjijikkan" itu.

Menurut laporan berkenaan, calon yang ditemu duga diminta mendedahkan dada, menyelak skirt, melipat seluar atau menanggalkan sarung kaki semasa pemeriksaan tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS