Guan Eng kata Shabudin 'raksasa', gesa BN pecat
Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya diibaratkan seperti seekor 'raksasa' kerana mencadangkan mangsa rogol menikahi dengan perogolnya, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Beliau berkata, cadangan Shabudin itu tidak boleh diterima sama sekali dan menggesa BN untuk memecatnya.
"Beliau adalah raksasa dengan membuat kenyataan sedemikian, adakah kamu mahu gadis itu menderita setiap hari dan mengalami dengan perogol?
"Kami mengutuk raksasa ini yang juga seorang ahli Parlimen dan menuntut BN untuk memecatnya. Beliau perlu diminta untuk melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen," kata Lim pada sidang medianya, hari ini.
"Jadi, jika setiap mangsa rogol berkahwin dengan perogol mereka, apakah kamu tidak galakkan atau benarkan rogol?
"Jika itu formulanya, bagaimana jika gadis itu menjadi mangsa rogol berkumpulan, mangsa perlu berkahwin dengan kesemua mereka? Ini pemikiran berakhlak buruk dan sakit," dakwanya.
Shabudin mencetuskan kontroversi setelah berucap pada persidangan Dewan Rakyat semalam mengenai perkahwinan antara mangsa rogol dan perogol berkemungkinan sebagai ubat masalah sosial.
Beliau berkata, pernikahan tersebut mungkin menjadikan perogol itu bertaubat dan mangsa mempunyai suami.
Lebih mengejutkan, Shabudin berkata bahawa kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tidak terlalu muda untuk berkahwin.
Jelas beliau lagi, kanak-kanak perempuan yang baligh seawal usia sembilan tahun secara fizikal dan rohani telah bersedia untuk perkahwinan.
Bukan sahaja pembangkang, malah rakan dalam BN, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga terkejut dengan kenyataan Shabudin itu.
'Apakah jenis ayah atau abang Shabudin ini?'
Lim berkata, jika BN bermoral, Shabudin harus boleh dipecat.

