Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'1.6j penjawat awam bantu kerajaan salur maklumat tepat'
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 6:38 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam yakin 1.6 juta penjawat awam di negara ini dapat membantu menerangkan kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi dan dasar yang dijalankan oleh kerajaan.

“Kita kini sedang turun kepada semua agensi kerajaan dan fokus kepada kakitangan awam kerana kita yakin hari ini jika dapat bantuan daripada kakitangan awam untuk sampaikan benda yang betul.

"Ia tentang keadaan ekonomi, tentang mengapa kerajaan mengambil sesuatu keputusan dan berkaitan polisi kerajaan maka ianya akan lebih mudah untuk sampai kepada akar umbi.

“Ini kerana hari ini banyak benda terutama polisi-polisi yang diambil oleh kerajaan ini tidak dapat diperjelaskan kepada akar umbi," kata Lokman, memetik laporan Umno Online.

Hari ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu terdapat 1.59 juta orang penjawat awam dan 47,281 orang pegawai kontrak sehingga 1 Januari yang lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany berkata, peruntukan emolumen bagi kakitangan kerajaan pada tahun ini pula adalah sebanyak RM77.4 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab Umno Luar Negara (AKULN), Wan Md Hazlin Agyl berkata, negara sekarang berhadapan dengan kebanjiran berita palsu ekoran daripada dunia media sosial tanpa sempadan.

"Oleh itu, menjadi satu tanggungjawab kepada AKULN untuk membantu membawa aspirasi kerajaan bagi memastikan segala maklumat tepat sampai kepada akar umbi.

“Sebab itu kita anjurkan Sesi ‘Kepochi Polinomics 101’ yang melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka mendapat jawapan yang tepat agar maklumat tersebut akan disalurkan pula kepada orang ramai.

Program sebegini, kata Wan Md Hazlin, akan diadakan secara berterusan dengan panel-panel yang berbeza sesuai dengan isu yang dirasakan signifikan di pemikiran akar umbi.

Lihat Komen
ADS