Enam belas lelaki warga asing ditahan bersama 16 motosikal dipercayai dicuri bernilai RM32,000 dalam Op Rejang, di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Besar, Sungai Batu, Pantai Remis di Lumut kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata 14 daripada warga asing terbabit adalah warga Bangladesh, manakala dua lagi rakyat India berumur lingkungan 25 hingga 55 tahun.

Ketika ditahan dalam operasi bermula 11 malam itu, beliau berkata kesemua mereka menaiki motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai dibeli daripada sindiket menjual motor curi di sekitar daerah Manjung.

"Pemeriksaan mendapati lapan penunggang motosikal tersebut tidak dapat memberi pengesahan dokumen motosikal yang mereka naiki dan kita percaya mereka telah membeli motor curi.

"Sementara lapan buah lagi dikenal pasti ada rekod kecurian yang dilaporkan di sekitar Pantai Remis, Segari, Air tawar dan Sitiawan," katanya dalam sidang media di Lumut malam tadi.

Tengku Zailan berkata siasatan mendapati seorang daripada individu yang ditahan memiliki tiga rekod kesalahan lampau melibatkan kes kecurian dan pecah rumah.

Katanya kesemua lelaki berkenaan ditahan, masing-masing lapan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan lapan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

eliau berkata tangkapan kes berkenaan membuktikan terdapat sindiket penjualan motosikal curi yang aktif di daerah Manjung dan kebanyakan motosikal yang dicuri digunakan di ladang kelapa sawit dan kawasan pedalaman.

"Kebanyakan nombor enjin dan casis motosikal yang kita rampas juga telah diganggu usik dan kita percaya warga asing membeli motosikal ini daripada sindiket dengan harga yang lebih murah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohd Zailan berkata kes dadah di daerah Manjung semakin meningkat apabila dalam lima hari pertama bulan April sahaja, pihaknya menahan lima individu kerana memiliki dadah jenis heroin dan syabu.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya.

Katanya sehingga April ini, pihaknya telah menahan 331 individu daripada 309 kes membabitkan pelbagai kesalahan dadah di daerah Manjung.

- Bernama