Mahkamah Perusahaan hari ini diberitahu bahawa kes pemecatan imam dan bilal Masjid Muadz Bin Jabal, Taman Setiawangsa adalah urusan pekerja dan majikan dan bukannya membabitkan soal agama Islam.

Berikutan itu, katanya, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes pemecatan pekerja terbabit, kata peguam mereka, Muhamad Burok.

Katanya, kakitangan masjid, termasuk imam dan bilal, tertakluk kepada Akta Pekerjaan dan perkara ini bukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"Pemecatan pekerja adalah membabitkan pekerja dengan majikan dan tidak ada kena mengena dengan urusan masjid," kata Muhamad dalam hujahnya, dalam perbicaraan kes pemecatan imam dan bilal Masjid Muadz Bin Jabal, Kuala Lumpur di Mahkamah Perusahaan hari ini.

Muhamad mewakili Wan Samokti Wan Salim (imam) dan Fakhruzzaman Abdul Mutalib (bilal) yang mendakwa dipecat secara tidak sah oleh Pengerusi Masjid Muadz Bin Jabal, Tajuddin Ibrahim pada 24 Oktober 2004.

Perbicaraan tersebut dijalankan di depan Hakim Firdaus Amin Abdullah. Masjid Muadz Bin Jabal diwakili oleh peguam Amli Embong serta dibantu oleh Zulkifli Zainuddin.

Muhamad berkata, kedua-dua mereka adalah pekerja yang sah serta mempunyai caruman di dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan oleh itu, kes ini perlu dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Katanya, kuasa Mahkamah Syariah hanya membabitkan orang Islam seperti urusan perkahwinan, perceraian, anak angkat dan pembahagian harta pusaka.

"Jadi kes ini tidak ada kena mengena dengan Islam, ia lebih kepada antara majikan dan pekerja," katanya.

Muhamad juga berhujah bahawa Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Muadz Bin Jabal telah bertindak sebagai ejen kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam memecat Wan Samokti dan Fakhruzzaman ( gambar ).

Bukan ejen

Sementara itu, peguam Masjid Muadz Bin Jabal Amli Embong dalam hujahnya berkata, bidangkuasa untuk mendengar isu yang berkaitan dengan masjid ialah Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Perusahaan.

Beliau juga menolak bahawa Masjid Muadz Bin Jabal adalah ejen kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sepertimana yang didakwa oleh Muhamad.

Berikutan itu Amli memohon mahkamah supaya mengenepikan kes tersebut kerana ia sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Hakim Firdaus Amin menetapkan 22 Julai untuk beliau membuat keputusan.