Setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad diberi 30 hari untuk menyediakan keterangan lanjut dalam pembelaannya terhadap saman bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kegagalan berbuat demikian dalam bentuk afidavit sebelum 4 Mei boleh menyebabkan pembelaannya ditolak.

Pesuruhjaya Kehakiman Roslan A Bakar dalam keputusan lisannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyebut terdapat merit terhadap permohonan interogatori Mukhriz.

Antara butiran yang perlu dijelaskan dalam afidavit itu sama ada Najib mengarahkan Tengku Sharifuddin menyediakan kenyataan media berkaitan Mukhriz dan sama ada perdana menteri meluluskan kenyataan itu sebelum dikeluarkan.

Tengku Sharifuddin juga diminta mendedahkan berapa ramai anggota dalam pasukan penyelidikannya dan sama ada mereka membantu merangka kenyataan itu.

Peguam Mukhriz, Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita, berdasarkan kenyataan Tengku Sharifuddin, pasukannya mungkin turut menamakan Najib dalam saman itu.

“Bagaimanapun perkara ini masih belum disahkan,” katanya.

Roslam mendengar penghujahan untuk permohonan Mukhriz bulan lepas apabila peguam Tengku Sharifuddin, Jahaberdeen Mohamed Yunoos, memberitahu mahkamah bahawa permohonan untuk menyemak dan mengesahkan fakta tidak diperlukan dalam saman itu dan ia semata-mata untuk melengah-lengahkan perbicaraan.

Mukhriz menyaman Tengku Sharifuddin susulan kenyataan akhbarnya antar 15 hingga 26 April.

Katanya, kenyataan itu mendakwa beliau berkomplot dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Mukhriz berkata kenyataan-kenyataan itu mencadangkan beliau akan diberi laluan menjadi perdana menteri selepas Muhyiddin berundur setelah menggantikan Najib.

Mukhriz juga berkata kenyataan Tengku Sariffuddin itu menggambarkan beliau seorang yang gila kuasa dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menjadi perdana menteri, termasuk menipu.

Tengku Shariffuddin, dalam kenyataan pembelaannya untuk menolak saman itu, berkata tiada sebab yang munasabah, remeh dan saman itu menyalahgunakan proses mahkamah.

[Baca berita asal]