Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedutaan pergiat kesan rakyat M'sia dilapor hilang di Jakarta

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang giat mengesan dan mencari dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Jakarta sejak 30 Mac lepas.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Bernama di Jakarta hari ini, pihak kedutaan dengan bantuan Atase Polis Diraja Malaysia di kedutaan besar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kedua-dua rakyat Malaysia itu.

Katanya, pihak kedutaan juga sedang menjalankan siasatan daripada segala sudut kerana kehilangan mereka menimbulkan kemusykilan setelah tidak langsung menghubungi sesiapa sebaik tiba di Jakarta.

Beliau berkata, waris kepada Mohamad Shafa Ahmad, antara yang dilaporkan hilang itu, telah bertemu dengan pihak kedutaan dan kini berada di Jakarta.

Mohamad Shafa, 29, dan Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang, dipercayai hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada 2 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Dua sahabat baik yang berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor dikatakan ingin mengunjungi Jakarta untuk menonton konsert Dj Armin van Buuren di Jakarta International Expo.

Kedua-dua mereka tidak menghubungi keluarga sejak tiba di Jakarta dan juga dilaporkan tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.

Kakak kepada Kamarol, Junaina Mohamad Darus, 33, berkata beliau menyedari adiknya hilang selepas anak ke-12 daripada 13 beradik itu tidak muncul di klia2 pada hari sepatutnya dia pulang pada 11 malam 2 April lalu.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS