Siswa didenda bawa sepanduk bantahan di taklimat mengenai 1MDB
Lima siswa yang membawa sepanduk bantahan di sesi ceramah mengenai 1MDB anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Universiti Malaya (UM) tahun lepas, telah dikenakan denda.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenakan denda RM200 ke atas pelajarnya Ariffin Amin, berserta dengan amaran keras.
Empat pelajar lain - Ho Chi Yang, Tan Jia You, Lau Li Yang dan Chua Hun Ti - semua dari Universiti Malaya, turut didapati bersalah oleh lembaga disiplin UM.
Mereka juga diberi amaran keras. Lau turut didenda RM600, manakala Ho dan Chua masing-masing didenda RM300 dan Tan didenda RM150.
Mereka adalah ahli jawatankuasa Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany).
Sementara itu, dalam satu kenyataan, pengarah hal ehwal universiti Pemuda DAP, Leong Yu Sheng mengkritik hukuman tersebut.
Leong mendakwa hukuman itu untuk melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB dengan mengorbankan kebebasan akademik.
Pemuda DAP, tambahnya, menggesa kerajaan berhenti menindas dan mengekang pelajar untuk tujuan politik.
Kerajaan serta universiti, menurutnya, perlu menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tegasnya.
Sesi ceramah pada tahun lalu itu adalah satu usaha oleh kerajaan untuk menjelaskan kontroversi yang menyelubungi 1MDB kepada pelajar universiti.

