Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri wanita: Bukan nak sokong Shabudin tetapi...

Terpulang kepada Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya sama ada mahu memohon maaf atau sebaliknya berhubung kenyataannya yang mencetuskan kemarahan banyak pihak berhubung isu rogol dan perkahwinan bawah umur, kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Malah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, Shabudin juga berada di pihak yang benar untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang terbabit.

"Itu hak dia (minta maaf atau tidak), ucapan dia dan saya tak masuk campur.

"Dia sangat tegas yang dia tak mengatakan sesuatu yang salah dan sangat teperinci dalam memberikan contoh beliau.

"Kalau dia nak ambil tindakan saman pun dia di pihak yang betul, sebab semua ucapan dia ada dalam hansard (penyata rasmi). Hansard tak menipu, setiap perkataan ditulis satu persatu," kata Rohani ketika ditanya apakah Shabudin perlu memohon maaf ekoran kenyataanya itu.

Rohani berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan MAKPEM 2017 Perlindungan Sosial dan Pembangunan Mampan - Memperkasakan Warga Emas, di Kuala Lumpur, hari ini.

Shabudin bercadang mengambil tindakan saman terhadap media yang didakwa beliau memutar belit ucapannya semasa perbahasan rang undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Rakyat awal minggu ini yang mendapat kecaman ramai.

Shabudin berkata, perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.

Kata Shabudin, walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.

Bagaimanapun, mengulas lanjut, Rohani berkata, beliau percaya kenyataan yang dibuat Shabudin itu berdasarkan pengalamannya selaku bekas hakim mahkamah Syariah.

"Bukan saya nak sokong dia tapi dia sangat teperinci dalam contoh yang diberikan dan ia dibuat berdasarkan pengalaman dia sebagai bekas hakim mahkamah syariah.

"Dimana masa beliau bertugas dulu ada kelompongan," kata Rohani.

Namun, tegas Rohani, pendirian beliau adalah jelas bahawa jenayah rogol yang dilakukan perogol perlu dikenakan hukum berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

"Saya buat kenyataan ini tiga tahun lalu di mana terdapat satu kes di Kota Kinabalu, Sabah apabila seseorang yang telah melakukan jenayah seksual ke atas budak berusia 12 tahun.

"Kenyataan dan pendirian saya jelas bahawa rogol tetap rogol dan dia perlu dihukum dibawah kesalahan merogol.

"Tapi kalau dia nak kahwin lepas itu, ia cerita lain," tegas Rohani yang juga anggota Parlimen Batang Lupar, Sarawak.

Lihat Komen
ADS