Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pengumuman Naib Presiden PAS Idris Ahmad untuk bertanding di 80 buah kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 kelak memberi petanda jelas bahawa parti itu sedang bekerja untuk Umno secara total.

Malah, antara 80 buah kerusi sasaran itu, PAS mahu bertanding di kerusi-kerusi DAP dan PKR. Ini bukan kelebihan kepada Pakatan Harapan, sebaliknya Umno.

Jika kita semak kerusi yang PAS tandingi dalam pilihan raya lepas, mereka hanya menang 21 kerusi dan tewas di 52 tempat.

Kebanyakan kerusi yang ditandingi PAS adalah kawasan majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat Umno. Maka 52 kerusi yang Umno menangi pada pilihan raya umum lalu adalah atas 'sumbangan' PAS secara tidak langsung.

Maka, dengan kenyataan Idris Ahmad ini, kita boleh simpulkan dengan lebih jelas lagi bahawa PAS secara tidak langsung akan memberikan kelebihan dan kemenangan kepada pihak Umno.

Di atas kertas undi, memang PAS menjadi lawan Umno kerana mereka tidak bergabung bawah satu logo secara rasmi, tetapi realiti politik menyatakan sebaliknya.

Apatah lagi hari ini PAS merasa cukup terhutang budi kerana Umno berjaya membawa pentas lakonan RUU355 di parlimen dengan cukup licik.

Ini dirasakan oleh PAS sebagai laba politik kepada mereka. Maka PAS dengan bangga dan yakin akan kembali kepada penyokong tegarnya dengan membawa satu kejayaan RUU355.

Hutang budi 'membawa' mati

PAS telah memberi gambaran sebelum ini bahawa mereka sanggup kalah pilihan raya asal Islam (RUU355) berjaya dibawa.

Namum, 'kejayaan' dirasakan mereka kini hanya 'dibentangkan' di parlimen tanpa perbahasan mahupun kelulusan yakni belum menjadi undang-undang yang disahkan.

Saya percaya segelintir pemimpin PKR dan Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus mencuba dan berusaha ke saat-aat akhir untuk memujuk PAS agar berlembut.

Realiti politik tidak akan menjamin apa-apa rundingan itu berjaya pada akhirnya. Bala ini akan ditanggung bukan sahaja ke atas parti yang berunding dengan PAS, malah semua pihak.

Kepimpinan PAS pernah membelakangkan perjanjian. Ketika mereka bekerjasama secara rasmi dalam Pakatan Rakyat pun mereka masih gagal menghormati perjanjian hitam putih, apatah lagi sekarang yang tidak ada hubungan rasmi dengan PKR dan BERSATU.

Malah mereka kini punya kelebihan hasil RUU355 dari Umno. Budi Umno kepada mereka lebih besar berbanding PKR dan BERSATU.

Budi Umno kepada pas ini akan 'membawa mati' kepada PAS. Ini realitinya.

Hadi Awang juga pernah 'kantoi' dengan ucapan untuk mengagih-agihkan kawasan PAS dan Umno untuk diperintah.

Kenyataan Idris ini dibuat selepas PAS sedang berkenduri meraikan 'kejayaan membentang' RUU355 di parlimen.

Justeru kenyataan itu adalah simbol bahawa PAS bersedia bekerja untuk Umno bagi menggagalkan Pakatan Harapan.


MAHDZIR IBRAHIM pengarah biro pendidikan politik DAP Johor.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS