Terjemahan Apakah Michael Soosai masih berada di India tempat kali terakhir dia dilihat atau adalah dia telah berpindah ke Nepal di wilayah utara? Ketika polis Malaysia membuat persiapan untuk menghantar pegawainya ke India, muncul pula lamanweb terbaru mengenai Soosai oleh sebuah syarikat yang berpejabat di Nepal.

Lamanweb tersebut yang bertajuk 'The true story of a soul', merupakan bahagian kedua daripada lamanweb pertama yang diwujudkan di India pada 6 Jun lalu. Ia mengandungi sambungan tuduhan berkaitan amalan rasuah dalam pasukan polis, salahlaku dan urusan mereka dengan Soosai.

Lamanweb terbaru ini diterbitkan oleh syarikat pemaju IT berpejabat di Kathmandu View Nepal Pvt Ltd pada satu Julai lalu.

Baru-baru polis memberitahu malaysiakini yang siasatannya mendapati 'server' bagi lamanweb tersebut terletak di California, Amerika Syarikat.

Ketika dihubungi melalui telefon semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, MB Roka berkata beliau hanyalah menaik dan mendaftar lamanweb tersebut dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungannya.

Siasatan ke seberang laut

Bagaimanapun, melalui satu emel kemudiannya, Roka berkata beliau perlu mendapatkan pandangan penasihat undang-undangnya sama ada boleh mendedahkan butiran mengenai pelanggan yang mengupahnya menubuhkan lamanweb tersebut.

Pada 6 Julai lalu, seorang lelaki di India yang mendakwa diupah oleh dua 'lelaki asing' untuk membantu mereka-bentuk dan menubuhkan lamanweb 'Bollywood movie' (lamanweb pertama Soosai), mengenalpasti seorang daripada mereka sebagai Soosai.

Beliau dapat mengenalpasti Soosai selepas malaysiakini menghantar emel gambar Soosai kepadanya. Gambar yang sama turut diemel kepada Roka di Nepal semalam untuk mengenalpasti sama pelanggannya adalah Soosai. Bagaimanapun, dia belum menjawab emel tersebut.

Dalam satu perkembangan berkaitan, sepasukan anggota polis Malaysia akan berlepas ke India untuk mengesan Soosai yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 17 kes penipuan bank, kes gangguan dan ugutan.

Bernama memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar sebagai berkata pasukan itu akan berlepas selepas pihaknya menerima laporan daripada Interpol di India mengenai lokasi Soosai.

"Dunia ini kecil. Kami akan mengesannya tidak kira di mana sahaja bersembunyi," katanya.