Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahfuz anggap Hashim 'terlajak kata'
Diterbitkan:  Apr 10, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, membayangkan rasa terkilan dengan kenyataan pemimpin tertinggi parti itu terhadapnya semalam.

Dianggap bukan lagi sebahagian daripada PAS oleh Hashim Jasin, Mahfuz berkata, mursyidul am PAS itu sepatutnya menjaga adab untuk membuat kenyataan.

“Saya hormat beliau sebagai mursyidul am PAS, tetapi beliau sepatutnya menjaga adab melaksanakan tanggungjawab diamanahkan itu. Saya melihat kenyataan beliau boleh (menyebabkan) persepsi tidak baik," katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Mengakui tetap sangat sayangkan PAS dan bimbang parti itu "rosak", Mahfuz berkata, beliau bersikap terbuka jika pihak kepimpinan mahu mengambil tindakan ke atasnya.

"Cuma saya tak mahu PAS dirosakkan oleh individu tertentu,” katanya.

Semalam Hashim dilaporkan berkata, rata-rata ahli PAS kini tidak lagi boleh menerima Mahfuz sebagai ahli parti itu ekoran kenyataan serta kritikannya mencerminkan beliau sebagai orang luar parti.

Semenjak pascamuktamar ke-61 PAS, Mahfuz dilihat selalu bersikap sinikal dan tidak sehaluan dengan pimpinan PAS.

Beliau sering hadir menyertai ceramah Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sangat dimusuhi majoriti pimpinan PAS ketika ini.

Tindakan itu menyebabkan beliau digelar ahli "harum manis" dalam PAS - merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luarnya tetapi berisi oren.

Malah pada pertengahan Februari lalu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan supaya Mahfuz meninggalkan PAS kerana sering mengkritik serta menyerang parti berkenaan.

Tugas jawatankuasa disiplin

Malah yang terbaru, Mahfuz turut membidas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendiamkan diri mengenai penangguhan sesi perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Jumaat lalu.

Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata, jika Hashim ingin mengambil tindakan ke atasnya begitu saja, ia sudah melampaui batas dan tidak mencerminkan sikap sebuah parti Islam.

“Kalau beliau kata akan ambil tindakan, seperti beliau melampaui batas kuasa. Sudah menunjukkan sikap tidak baik kepada parti yang saya sayang dan sebuah parti memperjuangkan Islam.

“Kalau PAS nak ambil tindakan, tak perlu cakap. (Sekarang) seolah-olah mereka sudah ada keputusan, sedangkan saya tidak pernah diberi notis. Beliau tidak boleh buat macam tu,” katanya.

Mahfuz berkata perlembagaan PAS hanya membenarkan seseorang anggota dipecat oleh jawatankuasa disiplin dan pusat saja.

Manakala Majlis Syura pula berperanan seperti mahkamah rayuan sekiranya diambil sesuatu tindakan.

Sementara itu dalam laporan berasingan, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata nasib Mahfuz akan ditentukan oleh lembaga disiplin parti Islam itu.

Katanya, PAS tidak mudah menyingkirkan ahlinya dan keputusan muktamad hanya dibuat setelah mengambil kira kata putus jawatankuasa disiplin.

“Langkah PAS, kita ada jawatankuasa disiplin yang akan tentukan status sama ada kekal sebagai ahli atau tidak," katanya dilaporkan Sinar Harian.

Beliau ketika ditanya mengenai tindakan Mahfuz yang membidas tindakan Abdul Hadi mendiamkan diri mengenai penangguhan sesi perbahasan RUU355 berkata: “Aduan berkenaan Mahfuz diterima jawatankuasa dan siasatan akan dijalankan. Secara rasmi Mahfuz masih ahli PAS, namun melalui prosedur, jawatankuasa disiplin akan menentukan nasibnya."

Lihat Komen
ADS