Hasrat PAS untuk bertanding di 80 daripada 222 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum depan dikatakan akan memberi laluan mudah buat BN.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata ia juga memberi isyarat bahawa Pakatan Harapan bakal menghadapi keadaan sukar, di samping ancaman tradisi BN.

“Dari satu sudut lain, ia akan memberi laluan sukar kepada rakyat yang mahukan reformasi direalisasikan pada PRU akan datang,” katanya.

Di samping sasaran 80 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14, PAS tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

Di Wilayah Persekutuan, PAS menyasarkan sembilan kawasan, termasuk Lembah Pantai yang didsandang oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad bagaimanapun berkata angka dan kawasan baharu belum dimuktamadkan.

Sementara itu, Sheikh Omar berkata kenyataannya Idris itu menimbulkan persoalan apakah PAS benar-benar komited untuk merealisasikan perubahan.

“Sebagai parti pembangkang yang seharusnya meletakkan diri sebagai pesaing Umno-BN, hasrat bertanding di 80 kerusi termasuk kerusi-kerusi PKR, DAP dan AMANAH menimbulkan big question kepada kita...,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu ketika bersama Pakatan Rakyat, PAS bertanding di 73 kerusi dan menang 21 kerusi daripadanya.

Bagaimanapun pembahagian kerusi kali ini lebih sukar memandangkan PAS kini tidak lagi bergabung bersama pembangkang utama lain yang membentuk Pakatan Harapan.