Polis harus menyiasat kes seorang lelaki yang membelasah seekor anjing di Taman Melody, Puchong, kata Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Gobind yang juga seorang peguam, berkata kes itu boleh disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Seksyen 428 menyatakan bahawa mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dienakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

"Kita tidak boleh membenarkan perkara ini berlalu tanpa siasatan.

"Binatang juga mempunyai hak dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melihat keadilan ditegakkan untuk binatang juga," kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind merujuk kemarahan orang ramai terhadap lelaki rakyat Singapura yang dikenali sebagai Terry Yee itu yang didakwa berlaku kejam membelasah anjing itu dengan sebuah topi keledar basikal. Kejadian itu dirakamkan melalui pada kamera keselamatan.

Yee telah memohon maaf. Beliau mendakwa dirinya ‘marah’ selepas anjing itu, yang dikenali sebagai Furby, menyerangnya. Dia juga mendakwa bahawa anjing itu sebelum ini pernah menyerangnya.

Semalam, sekumpulan 50 pencinta haiwan berkumpul di Taman Melody untuk mendesak supaya Yee ditangkap.

[Baca berita penuh]