Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz: Hadi, speaker perlambat perkara baik
Diterbitkan:  Apr 10, 2017 2:24 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar terus mempersoalkan penangguhan sidang Dewan Rakyat tanpa membahaskan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu.

Katanya, tindakan speaker serta tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berdiam diri seolah-olah mahu melambatkan perkara yang baik.

“Sepatutnya kena selesaikan segera terus mengundi. Ini sudah menangguhkan perkara yang baik.

"Ini kalau (sesi depan) bulan Julai baru nak bahas, ini melambatkan proses perkara yang baik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jumaat lalu Mahfuz membidas tindakan Abdul Hadi yang mendiamkan diri mengenai penangguhan sesi perbahasan usul pindaan akta itu.

Mahfuz kini sedang berdepan siasatan jawatankuasa disiplin parti itu.

Sementara itu, bekas naib presiden PAS itu berkata beliau sangat kesal kerana usul perbahasan tersebut “ditentukan oleh BN”.

“Speaker bertindak kerana ditentukan oleh BN seperti mana disebutkan oleh presiden MIC dan anggota kabinet. Itu saya sebut PAS kena bantah. Bila PAS tak bantah itu bina persepsi, PAS pun terlibat buat keputusan dengan Dewan tertinggi BN. Jadi malulah,” katanya.

Jumaat lalu Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN sudah menetapkan usul persendirian ahli Parlimen Marang itu akan dibentang dan dihuraikan namun tiada pengundian.

Sementara itu, Mahfuz berkata akan terlibat sama membahaskan usul Hadi itu dalam sesi akan datang sekiranya diberi peluang.

“Ya, kalau saya diberi peluang saya akan berbahas.

“Saya menyokong RUU355 walaupun ada beberapa pandangan saya yang perlu dipertimbangkan supaya benda ini dapat mencapai maksudnya iaitu untuk menyelaraskan hukuman,” katanya.

Lihat Komen
ADS