EOT: Noh elak dedah tarikh akhir serah senarai
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, enggan mendedahkan tarikh akhir untuk beliau menyerahkan senarai pemaju perumahan yang diberi kebenaran lanjutan masa (EOT) bagi menyiapkan projek mereka.
Ditemui Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan sama ada beliau mempunyai tarikh akhir untuk berbuat demikian, Noh sekadar berkata: "Tak ada."
Noh turut bertanya mengapa portal ini perlukan butiran terperinci mengenai tarikh akhir berkenaan.
"Nak detail sampai macam tu pasal apa?" katanya.
Menurut pemimpin kanan Umno Selangor itu, beliau sudah berjanji untuk menyerahkan dokumen berkenaan semasa bercakap parlimen lalu.
Andainya beliau akhirnya tidak menyerahkan senarai berkenaan, kata Noh, pihak yang tidak berpuas hati boleh mengecamnya.
"Saya sudah janji dalam parlimen, kalau tak puas hati dengan janji saya, tunggulah (sidang) parlimen yang akan datang. Apa nak hebohnya?" kata beliau lagi.
Minggu lalu, Noh berjanji kepada Anggota Parlimen Seremban, Anthony Loke, untuk menyerahkan senarai pemaju perumahan yang diberikan EOT oleh kerajaan.
Kata Noh, ada banyak pemaju yang diberikan EOT dan tidak boleh membacakannya satu demi satu.
"Jika anda mahukan senarainya, saya ada di sini," kata Noh sambil memegang sejumlah dokumen.
Apabila Loke meminta jawapan bertulis mengenai senarai itu, Noh berjanji akan menyediakannya.
Bagaimanapun Loke memberitahu Malaysiakini, beliau belum menerima senarai yang dimintanya.
Ditemui pada suatu majlis di Petaling Jaya hari ini, Noh berkata, tidak ada keperluan untuk beliau menyatakan jika ada tarikh akhir untuknya menyerahkan senarai berkenaan kepada Loke.
"Saya tak mahu bagitahu. Kita kerja bukannya nak ikut arahan begitu.
"Kamu tulis, kalau saya tak beri, tunggu parlimen akan datang bantai saya, kata saya menipu.
"Kita (sudah) janji kita bagi," katanya.
Semasa sidang Dewan Rakyat lalu, Noh berkata ada 304 EOT dikeluarkan oleh kementeriannya sejak 2014.
Ekoran itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menasihati bakal pembeli rumah menangguhkan pembelian buat masa ini sehingga mendapat kepastian bila harta tanah mereka akan siap.
HBA juga mengingatkan pengguna supaya menuntut pemaju mengeluarkan aku janji yang tidak boleh ditarik balik bahawa mereka tidak akan mendapatkan EOT daripada kementerian.

