Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Dr Edwin Bosi berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan atau mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan kedudukannya sama ada masih bersama DAP atau sebaliknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan itu enggan mengiyakan atau menidakkan khabar angin tersebut semasa ditemui oleh pemberita di pekarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Tunggu lah pada 13 April ini (Khamis) saya akan mengeluarkan kenyataan atau sidang akhbar sama ada saya masih bersama DAP atau tidak.

“Jika saya jawab sekarang, saya tiada bahan untuk cakap pada Khamis nanti. Ini juga memandangkan DUN masih bersidang,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, memetik laporan Utusan Online.

Khabar angin bertiup kencang mengenai Edwin yang dikatakan akan meninggalkan DAP dan menyertai Parti Cinta Sabah (PCS).

Portal tempatan baru-baru ini mendedahkan Edwin akan meninggalkan DAP dan menyertai PCS yang diterajui ADUN Tamparuli, Datuk Wilfred Bumburing.

Ini merupakan kali kedua khabar angin seperti itu bertiup setelah Edwin menyifatkan dakwaan beliau keluar parti hanya 'khabar angin', kira-kira lapan bulan yang lalu.

“Ini hanya khabar angin,” katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini.

Pada ketika itu, cakap-cakap menyebut beliau akan keluar DAP untuk menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) atau Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bosi, yang baru sepenggal menjadi ADUN, menang di Kepayan dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 7,287 undi.

Beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha DAP negeri sebelum kecundang dalam pemilihan parti tahun lepas.