Polis siasat serangan sasar bas pasukan Borussia Dortmund
Bas pasukan Borussia Dortment kelab Bundesliga Jerman menjadi sasaran serangan dalam tiga letupan menjelang pertemuan menentang Monaca dalam Liga Juara-juara semalam, kata polis di Dortmund, Jerman.
"Pada masa ini ia masih tidak jelas apakah latar belakang tindakan tersebut," kata Ketua Polis Dortmund, Gregor Lange dalam satu sidang media.
Letupan itu berlaku ketika bas pasukan itu sedang beredar meninggalkan hotel, kira-kira dua setengah jam menjelang perlawanan suku akhir pertama liga tersebut.
Satu nota mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu ditemui berhampiran tempat kejadian dan kesahihannya sedang "diteliti", kata pendakwa Sandra Luecke.
Pemain pertahanan Sepanyol, Dortmund, Marc Bartra dikejarkan ke hospital selepas mengalami keretakan pada pergelangan tangan kanannya dan beberapa kecederaan pada lengan, kata jurucakap Dortmund, Sasche Fligge.
Perlawanan itu ditangguhkan dan dijadualkan semula untuk hari ini, lebih awal daripada dua lagi perlawanan termasuk antara pasukan Bayern Munich menentang Real Madrid.
Bahan letupan itu masih belum diketahui, namun ia dipercayai ia mungkin diletakkan berhampiran tempat letak kereta hotel.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam waktu tempatan (1.15 pagi ini waktu Malaysia) di daerah Hoechsten, sekitar 10 kilometer dari stadium kelab itu, ketika skuad Dortmund meninggal hotel penginapan mereka menuju ke sana.
Selepas diumumkan perlawanan itu ditangguhkan, penonton beredar tanpa sebarang insiden. Polis berkata, terdapat tiga letupan berasingan, yang telah memecahkan tingkap kenderaan terbabit.
Penjaga gol Dortmund, Roman Buerki memberitahu akhbar Blick: "Saya sedang duduk di barisan belakang di sebelah Marc Bartra yang terkena serpihan pecahan tingkap belakang.
"Bas itu sedang bergerak berpusing ke jalan utama apabila terdengar satu bunyi letupan yang kuat."
Polis menggunakan sebuah dron untuk mengesan bahan letupan itu di kawasan sekitar hotel penginapan pasukan tersebut.
Lange berkata satu objek yang mencurigakan ditemui yang kelihatan seperti bahan letupan tetapi tidak boleh diletupkan.
Ketua Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke memberitahu stesen TV Sky bahawa terdapat "serangan letupan di kawasan yang berhampiran pintu keluar hotel" ketika bas bergerak dari tempat letak kereta hotel ke Wittbraeucker Strasse.
"Pasukan dan kakitangan kejurulatihan sudah tentu terkejut," katanya sambil menambah tidak mudah untuk melupakan kejadian itu.
Presiden kelab Reinhard Rauball berkata: "Sudah tentu ini adalah satu keadaan yang amat sukar untuk pemain Tetapi mereka adalah profesional, dan saya yakin mereka akan melupakannya dan memberi tumpuan kepada perlawanan esok."
Badan induk bola sepak dunia, Fifa dan badan bola sepak Eropah, UEFA mengutuk serangan itu.

