Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu di Muktamar PAS Pusat ke-63 di Kedah, akhir bulan ini.

Bersemangat untuk menghadapi bahang pemilihan parti kali ini, beliau berkata menang atau kalah baginya tidak menjadi masalah kerana menganggap pemilihan itu ibarat perlawanan bola sepak persahabatan.

"Biasalah dalam sesuatu pertandingan akan ada kalah dan ada yang menang," kata Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Turut dicalon untuk jawatan Naib Presiden termasuk dua penyandang iaitu anggota Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Calon lain ialah Ketua Penerangan PAS yang juga anggota Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan serta Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.

Mengenai kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, Mohd Amar berkata itu menunjukkan pengiktirafan anggota parti terhadap gandingan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muktamar Pas bermula 29 April ini bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

- Bernama