Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India Malaysia yang akan dilancarkan bulan ini adalah untuk memastikan masa depan kaum itu lebih terjamin dalam agenda transformasi negara.

Dalam perutusan bersempena Tahun Baharu Tamil, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini berkata pelan tindakan tersebut memfokuskan tiga bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sivik golongan belia.

Beliau berkata inisiatif baru itu bertujuan mengimbangi pembangunan kaum India bagi memastikan mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan arus perdana negara.

"Saya harap, Tahun Baharu Tamil esok akan membawa lebih banyak kemakmuran dan kesejahteraan kepada masyarakat India serta peluang kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang tahun berkenaan.

"Gunakanlah peluang seperti ini untuk melipatgandakan usaha kita bagi memberi lebih banyak harapan kepada masyarakat kita," kata beliau.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, mengucapkan kepada masyarakat India di negara ini 'Chittirai Puthandu Valthukal' (Selamat Tahun Baharu Tamil).

Masyarakat Tamil di seluruh dunia menyambut Tahun Baharu Tamil pada hari pertama kalendar solar Tamil, yang jatuh pada 14 April, bersempena kelahiran bulan Chittirai.

- Bernama