Remaja ditahan berhubung kenyataan didakwa hina sultan T'ganu
Seorang remaja berusia 19 tahun diberkas polis selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur penghinaan terhadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menerusi media sosial.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata remaja itu yang bekerja sebagai buruh ditahan kira-kira 4.50 petang semalam di Kampung Padang Jambu, Dungun.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad memori dari remaja itu.
"Hasil siasatan, suspek mengaku membuat kenyataan berkenaan di ruang komen laman Facebook," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Menurutnya dakwaan penghinaan dalam akaun laman sosial itu dikesan Isnin lepas hasil kerjasama polis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Rosli berkata pihaknya juga sedang memburu seorang lagi remaja berusia dalam lingkungan 20-an dari Dungun, yang merupakan rakan Facebook suspek, kerana turut menulis kenyataan yang didakwa berunsur penghinaan terhadap Sultan Mizan.
Siasatan terperinci, katanya, dijalankan berhubung motif kedua-dua remaja berkenaan.
Remaja itu ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
- Bernama

