Saksi dakwa Sayed Mohd Ali Saipuddin pengurus kempen Isa
Tiga orang saksi yang dinamakan oleh seorang timbalan Umno bahagian, dalam suratnya kepada presiden Umno berhubung politik wang semasa pemilihan parti itu tahun lalu, menafi sekeras-keras yang mereka terbabit sepertimana dakwaan tersebut.
Tiga orang saksi yang dinamakan oleh seorang timbalan Umno bahagian, dalam suratnya kepada presiden Umno berhubung politik wang semasa pemilihan parti itu tahun lalu, menafi sekeras-keras yang mereka terbabit sepertimana dakwaan tersebut.
Surat tersebut yang ditulis oleh Datuk Sayed Mohd Ali Saipuddin Sayed Yaacob - yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kuala Krai Kelantan - mendakwa seorang naib presiden dan enam ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menang dalam pemilihan parti tahun lalu, terbabit dalam politik wang.
Ketiga-tiga saksi tersebut Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Mohamed Saupi Deraman; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Putih, Razali Muhammad dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Machang, Nik Ahmad Ruzi Ibrahim menafikan dakwaan Sayed Mohd Ali Saipuddin dalam suratnya itu.
Mereka menyifatkan Sayed Mohd Ali sengaja mereka-reka cerita kerana kecewa kerana Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad digantung keahliannya selama enam tahun selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya bersalah terbabit dalam politik wang ketika bertanding jawatan naib presiden tahun lalu.
Sebaliknya, Mohamed Saupi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas mendakwa, Sayed Mohd Ali Saipuddin merupakan penyokong kuat Isa dan bertindak sebagai salah seorang ejen Menteri Wilayah Persekutuan itu, sewaktu pemilihan Umno tahun lalu.
Beliau mendakwa, Sayed Mohd Ali Saipuddin juga adalah pengurus kempen Mohd Isa di Kelantan dengan mengadakan pelbagai perjumpaan dengan ahli Umno menjelang kempen pemilihan tersebut.
Didakwa pentingkan wang
"Dia (Sayed Mohd Ali Saifuddin) yang membayar bilik hotel dan makan minum rombongan Tan Sri Mohd Isa dari Kuala Lumpur untuk datang berkempen di Kota Bharu dan beberapa tempat lain di Kelantan pada pertengahan tahun lalu," katanya.
Surat tersebut telah dihantar kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen; Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan 12 ahli Majlis Tertinggi Umno.
Selain menamakan calon-calon terbabit, Sayed Mohd Ali juga menyatakan dalam suratnya butir-butir terperinci mengenai nama saksi, tempat dan jumlah wang diberi serta mengenai taklimat kepada perwakilan. Beliau sendiri mendakwa telah ditawarkan RM3,000 tetapi ditolaknya.
"Beliau amat gembira apabila Tan Sri Mohd Isa memenangi jawatan naib presiden dengan mendapat undi terbanyak dan mendakwa kemenangan tersebut adalah hasil kerja kuatnya," katanya.
Razali pula mempersoalkan kenapa baru sekarang Sayed Mohd Ali Saipuddin menimbulkan kes tersebut dan mengapa tidak melaporkan terus kepada Lembaga Disiplin Umno jika benar-benar berlaku.
'Saya tidak tahu'
"Bagi saya beliau sengaja mereka-reka cerita untuk mencari publisiti. Saya juga tidak tahu apa tujuan dia membuat cerita demikian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Razali mengakui beliau ada minum bersama wakil naib presiden tersebut di sebuah restoran di Kota Bharu pada tahun lalu.
Sementara Nik Ahmad pula mendakwa beliau tidak kenal Sayed Mohd Ali Saipuddin dan juga tidak mengenali ejen naib presiden tersebut.
Manakala Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Che Jalal Muda berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai surat yang dikatakan ditulis oleh Sayed Mohd Ali Saipuddin itu.
"Saya tidak tahu mengenai surat tersebut. Perkara ini kena tanya Sayed Mohd Ali Saifuddin sendiri," katanya ketika malaysiakini menghubunginya di Kuala Krai hari ini.
Ketua Puteri Umno bahagian itu, Rohana Awang pula berkata, beliau juga tidak pernah terbaca surat yang dikatakan ditulis oleh Sayed Mohd Ali Saipuddin mengenai penggunaan wang oleh beberapa pemimpin parti dalam pemilihan parti yang lalu.

