Spekulasi mengenai pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri adalah tidak berasas dan melucukan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, pelantikan itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu dan semua menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan.

"Semua spekulasi itu, sama ada ya atau bukan spekulasi melibatkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid Hamidi), dan pemilihan Umno akan datang adalah jelas tidak berasas, kerana kita semua menyokong pelantikan itu.

"Kita memerlukan kepimpinan kanan yang kuat dalam kerajaan, begitu juga dalam parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Dalam Umno kita agak geli hati dengan semua spekulasi dan analisis yang kamu buat," kata Khairy pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Selain itu Khairy berkata, pelantikan Hishammuddin juga mendapat reaksi positif daripada ahli akar umbi.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan naib presiden Umno, beliau berkata perkara itu hanya akan dijawabnya selepas pilihan raya umum nanti.

Najib pada Rabu lalu membuat pengumuman mengejutkan bahawa Hishammuddin kini mempunyai portfolio tambahan selain terus memegang portfolio pertahanan.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa Najib cuba untuk meningkatkan profil Hishammuddin, mungkin untuk menggantikannya dengan Zahid.

Terdapat juga spekulasi bahawa Hishammuddin diberikan ‘bantuan’ untuk memastikan kedudukannya sebagai naib presiden pada pemilihan parti Umno akan datang tidak tergugat.

Hishammuddin hampir tewas jawatan naib presiden Umno pada tahun 2013. Beliau hanya menang dengan kelebihan 100 undi bahagian, hanya sembilan melebihi Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

[Baca berita penuh]