Peluang pasangan Islam kurang kemampuan kahwin percuma
Baitulmal Wilayah Persekutuan berhasrat untuk menanggung sepenuhnya kos perkahwinan bagi pasangan kurang berkemampuan yang ingin mendirikan rumahtangga di bawah Skim Perkahwinan.
Baitulmal Wilayah Persekutuan berhasrat untuk menanggung sepenuhnya kos perkahwinan bagi pasangan kurang berkemampuan yang ingin mendirikan rumahtangga di bawah Skim Perkahwinan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Che Mat Che Ali berkata pada masa ini, melalui skim yang sama diperkenalkan pada 2000, Baitulmal memberi bantuan membiayai sebahagian kos perkahwinan ataupun sehingga RM3,000.
"Bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi kurang berkemampuan boleh tuntut agihan ini daripada Baitulmal, kerana pada hari ini ramai generasi muda yang tidak kahwin," katanya.
Che Mat yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) berkata demikian kepada pemberita di bengkel penambahbaikan skim agihan zakat era millenium MAWIP di sini, hari ini. Bengkel itu yang bermula pada hari ini akan berakhir pada 15 Julai.
Menurut laporan Bernama, Che Mat berkata, lelaki yang berpendapatan kurang dari RM1,024 sebulan layak untuk memohon bantuan Skim Perkahwinan itu.
Che Mat berkata pihaknya akan meningkatkan promosi skim itu dengan harapan lebih ramai lagi generasi muda mendirikan rumahtangga dan tiada lagi alasan tidak berkahwin kerana tidak berkemampuan.
Skim bantuan lain
"Sejak tahun 2000 tidak sampai 100 orang yang memohon skim ini untuk mendirikan rumahtangga dan selepas ini saya harap mereka yang berhak memohon akan tampil membuat permohonan," katanya.
Selain itu, katanya, Baitulmal bercadang mengkaji semula pelbagai skim bantuan sedia ada selain mewujudkan skim baru, seperti skim biasiswa kecemerlangan akademik Wilayah Persekutuan dan skim untuk individu yang ditimpa kecelakaan dan musibah, bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
"Sekarang ini telah ada 17 skim dan kami bercadang untuk menambahnya kepada 32 skim. Sekiranya diluluskan ia akan dilancarkan pada akhir tahun ini," katanya.
"Baitulmal juga berhasrat untuk mengagihkan semua wang kutipan yang diperolehi pada tahun ini dan tidak mahu ada yang disimpan. Tahun lepas sebanyak RM30 juta lebihan kutipan tersimpan dan anggaran kutipan tahun ini pula sebanyak RM100 juta," katanya.
Beliau berharap mereka yang layak untuk mendapat bantuan supaya tampil bagi membuat permohonan.
Bagaimanapun bantuan perlu dibuat mengikuti syarat ditetapkan bagi mengelakkan penyalahgunaan agihan wang zakat, katanya.

