Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EAIC: Ketua jabatan, agensi penguatkuasa perlu lebih terbuka pada media
Diterbitkan:  Apr 15, 2017 6:12 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Ketua jabatan di setiap agensi kerajaan dan penguatkuasaan perlu bersikap lebih terbuka dan bertanggungjawab terhadap media dalam memberi respons kepada isu berkaitan dengan agensi terlibat.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam berkata sikap berterusan mendiamkan diri ketua jabatan apabila timbulnya sesuatu isu hanya akan menebalkan persepsi negatif masyarakat terhadap agensi berkenaan.

Katanya jika tidak mahu menggunakan media arus perdana, agensi berkaitan mempunyai pilihan untuk menyalurkan maklumat khususnya membabitkan sesuatu isu yang menjadi tular atau mempunyai kepentingan umum melalui laman web atau laman sosial agensi.

"Dalam hal ini, saya dapati terdapat sesetengah agensi yang mewujudkan Facebook untuk berinteraksi dengan orang awam. Namun apabila mereka memberikan pertanyaan, kerap kali agensi gagal memberi respons yang diharapkan.

"Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku jika agensi mempunyai pemantauan dan pengurusan yang baik ke atas laman web dan laman sosial mereka," katanya ketika berucap di majlis Malam Apresiasi Media 2017 di ibunegara malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Yaacob turut mengingatkan pengamal media bahawa nilai sebuah berita bukan terletak pada sensasi atau kontroversi sesuatu isu, tetapi pada kualiti dan kebolehpercayaan yang tinggi berita tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata media perlu bijak mengambil peranan dengan laporan yang berintegriti, berani, telus dan tepat.

Di majlis itu, EAIC turut memberi penghargaan kepada pengamal media termasuk ketua-ketua pengarang organisasi media bagi menghargai hubungan kerja mereka dengan agensi tersebut sejak ia ditubuhkan.

Malam apresiasi itu juga diadakan bersempena ulang tahun keenam EAIC yang ditubuhkan pada 1 April 2011.

Sementara itu, Yaacob berkata EAIC akan membentangkan kertas dasar mengenai pengukuhan integriti pegawai agensi penguatkuasaan berhubung kawalan sempadan negara.

Katanya, kertas dasar berkenaan dijangka dibentangkan bulan depan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Ketika ini, katanya, EAIC sedang mendapatkan input daripada agensi berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen mengenai kawalan sempadan negara ini.

"Kertas dasar ini dalam proses akhir dan kita sedang kemas kini maklumat yang dikumpulkan antaranya mengenai perairan di Sabah, sebelum dibentangkan," katanya.

Yaacob berkata dengan pembentangan kertas dasar itu, EAIC berharap kawalan sempadan negara dapat dikukuhkan dan dimantapkan lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS