Klausa kerahsiaan: Gerakan sepatutnya salahkan BN, tempelak Guan Eng
Pemimpin Gerakan yang tidak puas hati dengan klausa kerahsiaan dalam perjanjian yang melibatkan projek penambakan, sepatutnya menyalahkan kerajaan BN sebelum ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Lim berkata klausa itu dimasukkan dalam kontrak yang dimeterai antara pentadbiran BN sebelumnya dan pemaju yang menjalankan kerja-kerja penambakan.
"Perjanjian itu bukan ditandatangani oleh kerajaan yang ada sekarang ini," kata Lim, sambil menambah bahawa mereka (Gerakan) sepatutnya mensasarkan pentadbiran sebelum ini dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.
Pada hari Khamis, pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo mengadu bahawa permohonannya di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bagi tiga perjanjian mengenai penambakan Seri Tanjung Pinang 1, Seri Tanjung Pinang 2 dan Gurney Wharf, telah ditolak oleh kerajaan negeri.
Peguam itu, yang menuduh kerajaan negeri bersembunyi di sebalik FOI, merancang untuk mencabar penolakan permohonannya itu di Lembaga Rayuan.
Lim berkata FOI, yang dikuatkuasakan di Pulau Pinang pada bulan Januari 2015, tertakluk kepada syarat-syarat undang-undang yang sedia ada.
"Ia tidak boleh menjadi retrospektif," kata ketua menteri, yang juga setiausaha agung DAP.
Lim berkata pentadbirannya boleh memberikan maklumat yang diminta itu jika ia tidak dilarang oleh klausa kerahsiaan. Bagaimanapun, ia mesti menghormati klausa itu yang dinyatakan dalam perjanjian yang ditandatangani oleh pemaju dan kerajaan sebelum ini.
Pemaju, jelasnya, mempunyai hak untuk menolak untuk mendedahkan apa-apa maklumat tanpa kebenaran mereka, dan ini, menurutnya, dikenali sebagai klausa kerahsiaan.
Jika pemaju mahu berpegang kepada kluasa ini, kata Lim "tiada apa yang boleh kita lakukan."
Lim berkata terserah kepada Gerakan untuk mencabar perkara itu di Lembaga Rayuan. Bagaimanapun, parti itu mesti sedar tentang fakta berkaitan perkara itu, tegasnya.

