Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata ia amat kesal dengan satu artikel dalam media hari ini yang seolah-olah membayangkan bahawa pengelakan cukai oleh doktor berlaku secara meluas.

Presiden MMA Dr John Chew berkata persatuan itu percaya bahawa keadaan adalah sebaliknya kerana doktor pada umumnya mamatuhi undang-undang dan teliti tentang mengisytiharkan pendapatan dan membayar semua cukai yang terhutang.

"Kita berpendapat bahawa ketidakadilan ketara telah berlaku akibat salah lapor ini. Kita percaya ketua pengarah (dan ketua pegawai eksekutif Datuk Sabin Samitah) dari LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan menjelasan kenyataannya jika beliau telah disalah petik," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Chew merujuk kepada laporan memetik Sabin, yang membayanghkan bahawa doktor pakar swasta secara sistematik melakukan penipuan mengenai cukai pendapatan dengan secara salah mengisytiharkan pendapatan mereka di bawah syarikat sendirian berhad dan bukannya atas nama individu.

Presiden MMA itu berkata penubuhan sebuah syarikat sendirian berhad adalah sah sepenuhnya di bawah undang-undang.

"Tidak ada undang-undang menyekat atau menghalang doktor daripada menubuhkan syarikat seumpama itu. LHDN menerima ini," kata Dr Chew.

Beliau menjelaskan bahawa doktor secara amnya tidak begitu faham mengenai cukai, perakaunan dan hal-hal berkaitan dan ini mendorong mereka mendapatkan khidmat pihak seperti akauntan dan perunding cukai.

"Secara umumnya, kalangan profesional ini yang datang menemui pelanggan doktor mereka dan menasihatkan mereka untuk menubuhkan syarikat bagi memudahkan perancangan cukai. Untuk mengabaikan nasihat seorang profesional yang saya ambil untuk memberi nasihat kepada saya adalah satu kebodohan,"kata beliau.

Dr Chew berkata sejak merdeka, doktor swasta telah menubuhkan syarikat sendirian berhad dan mereka telah mengemukakan cukai yang dinyatakan dalam bentuk tersebut sejak itu.

"LHDN (yang sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Hasil Dalam Negeri) telah menerima amalan ini. Kebanyakan doktor telah diaudit dengan terperinci selama ini. LHDN sentiasa sedia maklum bahawa sesetengah doktor menggunakan syarikat sendirian berhad berhubung urusan percukaian," katanya.

Dr Chew berkata pada masa lalu, cukai syarikat adalah sama seperti cukai individu dan oleh itu, pengurangan cukai adalah amat kecil, jika ada.

"Malahan sejak dua tahun lepas, cukai syarikat adalah lebih tinggi daripada cukai peribadi. Dalam pengiraan semula, doktor telah terlebih bayar cukai dan boleh mendapatkan bayaran balik. Ini menunjukkan bahawa mengelakkan cukai bukan motif utama bagi penubuhan syarikat," kata beliau.

Beliau berkata, baru-baru ini, LHDN memutuskan bahawa sesetengah doktor pakar swasta, yang menandatangani kontrak untuk membekalkan khidmat kepada hospital atas kapasiti peribadi, tidak perlu membuat bayaran ke dalam akaun syarikat mereka tetapi sebaliknya mengisytiharkannya sebagai pendapatan peribadi.

"Oleh kerana ini merupakan perubahan yang signifikan dan sistematik, Persatuan Perubatan Malaysia telah berhubung dengan LHDN bagi penjelasan. Kita mendapati bahawa apa yang telah dimaklumkan adalah penyelesaian yang memuaskan," kata beliau. -Bernama

Lihat Komen
ADS