Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Khairy Jamaluddin untuk membayar RM3,000 sebagai kos kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas peguam menteri belia dan sukan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal mematuhi arahan mahkamah.

Ia berhubung memfailkan penghujahan bertulis untuk memasukkan pembelaan tambahan "ulasan saksama" mengikut masa yang ditetapkan.

Khairy mahu memasukkan pembelaan tambahan sebelum penghujahan pada 19 Mei, selepas perbicaraan saman fitnah yang memakan masa yang panjang itu berakhir dengan kedua-dua pihak mengemukakan saksi mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan berhubung kos selepas mahkamah melalui pendaftar mengarahkan firma guaman Shafee mengemukakan penghujahan bertulis mereka sebelum 10 April, dan melanjutkannya kepada Khamis lalu.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini firmanya gagal menyerahkan permohonan tersebut dan pembantunya Sarah Abishegam, memaklumkan bahawa Shafee (kanan) terpaksa mengambil cuti sakit kerana kecederaan ‘hamstring’ dan tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.

Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa firma itu hanya mampu mengemukakan draf pembelaan yang dipinda.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan Khairy untuk meminda pembelaan.

Saman fitnah RM100 juta Anwar terhadap Khairy itu berikutan kenyatannya berhubung “main belangkang” dalam sebuah ceramah politik.

Anwar berhujah bahawa frasa itu bermakna bahawa beliau adalah seorang homo-seksual, mempunyai moral rendah serta kecenderungan untuk melakukan jenayah dan maksiat.

[Baca berita penuh]