Suka dalam duka Umno rai ulangtahun ke-71
Pendekatan Umno menawarkan hadiah tujuh kereta dan10 motosikal dalam cabutan bertuah kepada ahlinya sempena sambutan ulangtahun parti ke-71 pada 11 Mei ini hanya mencerminkan suka dalam duka yang dihadapi oleh pimpinan tertinggi parti itu.
Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata semakin menghampiri pilihanraya, semakin terserlah penolakan ahli terhadap Umno sehingga parti terpakasa menawarkan habuan supaya mereka hadir pada hari berkenaa.
“Realiti tetap realiti, kerana seramai mana yang hadir untuk cabutan bertuah ini, tidak akan sesekali menjauhkan penderitaan rakyat.
“Ini termasuk ahli Umno sendiri dengan harga barang yang kian meningkat, kos sara hidup yang meningkat, kualiti kehidupan yang merudum, bebanan cukai GST dan pemansuhan subsidi terhadap barang - barang keperluan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurut pemimpin PKR itu, penasihat Umno wajar diberikan kepujian kerana dapat menyedari bahawa perhimpunan kali ini hanya akan menjadi medan protes ahli mereka sendiri.
Selaras dengan itu, tindakan bijak penasihat adalah untuk menganjurkan cabutan bertuah termasuk menghadiahkan sebuah kereta Proton Perdana.
“Maka, ahli Umno akan hadir beramai - ramai dan akan menunggu sehingga selesai sambutan ulangthun ini.
“Acara ini akan digunakan sebagai senjata persepsi politik yang menunjukkan sokongan padu terhadap Umno menuju PRU 14 yang akan datang,” katanya.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusof pada bulan lalu berkata, sambutan di Stadium Bukit Jalil pada 10 dan 11 Mei nanti dengan pelbagai program dan karnival berbentuk jualan dan hiburan diadakan dan dijangka akan menarik kedatangan sehingga 200,000 pengunjung.
Menurutnya, acara kemuncak pada malam 11 Mei pula akan bermula dengan upacara penyerahan dan menaikkan bendera Umno diikuti dengan ucapan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti dan ucapan Presiden Datuk Seri Najib Razak.
Acara kemudian diteruskan dengan majlis pecah tanah kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra, yang merangkumi pembinaan menara setinggi 70 tingkat yang akan akan menjadi mercu tanda baharu bagi Umno.
Pada acara itu, tempat letak kereta bertingkat di Hentian Putra akan diruntuhkan sebagai simbolik permulaan kerja-kerja projek itu.
Ini, kemudiannya akan disusuli dengan penyampaian Anugerah Tokoh Melayu Terbilang dan upacara memotong pulut kuning.

