Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Husam pun dulu sokong henti niaga sempena Maghrib'

Seorang exco Kelantan mendakwa, Datuk Husam Musa pernah menyokong keputusan kerajaan negeri menutup sementara operasi kedai-kedai di negeri untuk untuk solat Maghrib.

Menurut Datuk Abdul Fattah Mahmood, Husam memberikan sokongan itu ketika beliau masih lagi menjadi seorang daripada anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Abdul Fattah yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Husam semalam.

Dalam kenyataannya, Husam - kini dilantik sebagai naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) - mempertikaikan arahan kerajaan negeri agar semua peniaga termasuk yang bukan Islam berhenti berniaga semasa waktu Maghrib.

Husam berkata, arahan itu sepatutnya terhad kepada peniaga Islam sahaja memandangkan yang bukan Islam tidak perlu menunaikan solat Maghrib.

Sehubungan itu, Abdul Fattah mempersoalkan sama ada Husam memahami apa yang dinyatakannya sebelum ini.

"Tanya Datuk Husam, dia fahamkah apa yang dia cakap tu. Saya tak perlu jawab.

"Datuk Husam ni dah bercakap benda yang dia sendiri pun tak faham. Dulu dia yang asyik promosikan kita tutup waktu sembahyang Maghrib," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah memberitahu, arahan supaya peniaga berhenti ketika solat Maghrib telah "berdekad" lamanya walaupun sebelum ini ia hanya terhad kepada kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

"Sekarang ni kita dah selaraskan dengan semua PBT (pihak berkuasa tempatan), jadi semua pasar malam, 15 minit sebelum azan kita akan bunyikan siren yang pertama untuk persediaan.

"Lima minit sebelum masuk waktu Maghrib, kita akan bunyikan siren kedua untuk dia (peniaga) tutup untuk persediaan solat, lepas dia solat dia boleh buka. Tak ada masalah," katanya.

Malah, Abdul Fattah berkata proses tersebut hanya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit sahaja.

"Kita cuma nak bagi peluang kepada peniaga menunaikan solat. (Perkara) ini dah berjalan berpuluh tahun dah," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Abdul Fattah, Husam memberitahu bahawa arahan terdahulu adalah kepada peniaga pasar malam yang hampir 100 peratus terdiri daripada orang Islam.

Malah, katanya, ketika beliau menjadi exco, tidak timbul kedai milik bukan Islam perlu mengikut arahan tersebut.

"Dulu lebih pada peniaga pasar malam dan bukan kedai biasa. Peniaga pasar malam hampir 100 peratus Muslim.

"Tak timbul kedai bukan Muslim pun kena peraturan ini," kata Husam.

Lihat Komen
ADS