Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PERKASA mahu kongsi pandangan dalam saman Akta 355

PERKASA memohon untuk menjadi 'curiae amicus' atau 'rakan mahkamah' terhadap saman yang difailkan Mohamed Tawfik Ismail berhubung cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ini bagi membolehkan NGO Melayu itu membantu dalam kes itu tanpa menjadi satu pihak dalam saman tersebut.

Tawfik, yang merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman meminta satu pengiystiharan bahawa pindaan yang dicadangkan itu tidak mengikut perlembagaan.

"Kami hanya mahu hadir untuk memaklumkan kepada mahkamah sebagai pihak neutral kepada apa yang kami percaya adalah undang-undang yang berkaitan pada perlembagaan berkenaan dengan pindaan yang dicadangkan," kata peguam PERKASA, Nizam Bashir kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, mereka mahu membawa isu sama ada keizinan atau perundingan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum cadangan pindaan itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hakim Hanipah Farikullah menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan PERKASA pada 23 Mei.

Tawfik memfailkan saman itu pada 31 Mac bagi menghalang Dewan Rakyat daripada membenarkan usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Akta 355, atau mana-mana usul dengan ciri yang sama, untuk dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Hadi membentangkan usul itu pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat yang lalu, tetapi speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menunda perbahasan pada sidang akan datang, yang bermula pada 24 Julai.

Lihat Komen
ADS