Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBR sangkal ROS, alamat pejabat bukan di kedai jubin
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 12:46 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Parti Bebas Rasuah (PBR) menafikan alamat ibu pejabat mereka tidak wujud seperti dinyatakan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Antara lain, Mohammad Razin mendakwa semakan ROS mendapati alamat berdaftar itu digunakan oleh sebuah kedai jubin.

"Kemungkinan salah faham wujud kerana alamat yang didaftar adalah di tingkat dua, manakala yang disebut media sebagai kedai jubin adalah kedai di tingkat bawah premis kami," kata Setiaausaha Agung Parti Generasi Baru, S Gobi Krishnan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, alamat yang didaftar kepada ROS adalah alamat yang sama digunakan oleh Parti Generasi Baru sejak ia diluluskan pada 28 Ogos, 2013 sebelum ditukar nama kepada PBR.

Menurut NST semalam, Mohammad Razin berkata terdapat percanggahan dalam permohonan yang dikemukakan oleh Parti Generasi Baru untuk menukar namanya kepada PBR.

Beliau berkata surat berdaftar yang dihantar oleh ROS kepada parti itu dipulangkan semula dan semakan mendapati alamat di mana parti itu dikatakan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), adalah bilik pameran sebuah kedai jubin.

Beliau juga berkata ROS mendapati  dua daripada 12 ahli jawatankuasa (AJK) yang dinyatakan dalam EGM berkenaan tidak benar berdasarkan nombor kad pengenalan mereka.

Oleh itu, Mohammad Razin berkata, presiden PBR Mohd Ezam Mohd Nor tidak akan dibenarkan menggunakan nama PBR, selagi isu terbabit tidak diselesaikan.

Gobi bagaimanapun berkata semakan pihaknya mendapati tiada keraguan mengenai dua identiti berkenaan.

"Kesemua AJK berdaftar ini sedia hadir ke ibupejabat JPPM (ROS) untuk mengesahkan perkara ini," katanya.

Katanya, beliau muyskil mengapa  Mohammad Razin tidak cuba untuk menghubunginya terlebih dahulu sebelum membawa perkara itu kepada pihak media.

 

Lihat Komen
ADS