Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Patung monyet berserban di jalan menuju Muktamar PAS

Hari pertama persidangan Muktamar Tahunan PAS ke-63 hari ini dicemari dengan seekor patung monyet berserban yang ditemui tergantung di sebatang pokok.

'Lebai monyet' yang lengkap berserban, berkaca mata serta diletakkan 'misai' itu digantung di atas pokok di Jalan Tandop yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kompleks PAS Kota Sarang Semut.

Malah, patung itu turut dililit selendang berlogo PAS dan turut kelihatan simbol seperti salib di bahu kanan patung monyet berkenaan.

Turut tergantung bersama ialah bendera PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di patung tersebut.

Patung itu kelihatan tergantung di pokok kira-kira jam 10 pagi tadi.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam ucapan perasmian Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang, kira-kira jam 3.30 petang, tinjauan Malaysiakini mendapati patung monyet tersebut sudah tidak kelihatan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan akhbar Nanyang Siang Pau menerbitkan karikatur yang memaparkan Abdul Hadi dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Bertajuk "Akta Monyet" kartun yang disiarkan dalam akhbar itu memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai "speaker" manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai "Hadi Awang" bertenggek di pokok "Akta 355".

Abdul Hadi bagaimanapun mengajak semua pihak memaafkan akhbar Nanyang Siang Pau serta pihaknya juga menerima sepucuk surat permohonan maaf daripada ketua pengarang akhbar berkenaan bertarikh 12 April lalu.

Sementara itu, satu kain rentang yang memaparkan tiga wakil rakyat PAS negeri digesa keluar dari parti Islam tersebut ditemui digantung di tepi jalan.

Kain rentang itu digantung di tepi jalan di Jalan Putra, Alor Setar.

Tiga pemimpin yang digelar sebagai 'harumanis' itu merupakan anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, bekas Yang Dipertua PAS Kuala Kedah serta ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah serta ADUN Kubang Rotan Nasir Mustafa.

Kain rentang itu juga bertulis: "Harumanis: luar hijau dalam oren. Sila keluar dari PAS!".

Dalam kain rentang berkenaan turut tertulis ia merupakan tuntutan daripada penyokong-penyokong kuat PAS Kedah.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respon daripada pihak berkaitan mengenai hal tersebut.

Lihat Komen
ADS