'Kalau ada RM90 juta, tak mungkin PAS pungut derma'
MUKTAMAR I PAS tidak perlu mengutip derma daripada anggota parti sekiranya benar dakwaan bahawa presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima RM90 juta, kata seorang pemimpin parti itu.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata demikian ketika sukarelawan parti itu mengumpul derma daripada kira-kira 500 penyokong yang menghadiri satu ceramah di Alor Setar, Kedah.
"Saya ajak derma, fisabilillah untuk biayai kos Muktamar, di samping kita diuji oleh Allah dengan musibah kita tak jangka. Saya harap semua derma.
"Kalau tidak kita, siapa nak biayai. Kita semua tau RM90 juta tu dongengan golongan terdesak dalam politik. Ia bukan satu realiti. Kalau betul ada RM90 juta tak mungkin kita pungut derma hari ini.
Tahun lalu, laman web pemberi maklumat, Sarawak Report mendakwa Abdul Hadi menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
PAS memfailkan saman terhadap editor laman web itu, Clare Rewcastle-Brown kerana memfitnah berhubung dakwaan tersebut.
Selain mengutip derma untuk muktamar, PAS juga melancarkan tabung untuk membantu mengumpul wang bagi memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown di England.
'Kalau ada RM90 juta, Muktamar di hotel'
Parti itu juga mengutip derma untuk membantu dana pembinaan kompleks PAS Kedah yang separuh siap, di mana muktamar diadakan.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata kos muktamar tahun ini berjumlah RM400,000 dan ia kebanyakannya dibiayai oleh sumbangan daripada ahli-ahli parti.
Idris berkata, jika parti itu menerima RM90 juta seperti yang didakwa, ia tidak akan mengadakan muktamar di Kompleks PAS Kedah yang menggunakan khemah sebagai dewan sementara.
"Kalau dapat RM90 juta kita tak buat kat khemah lah. Kita buat kat hotel. Aircond kuat macam (di) Eskimo," katanya berjenaka.
Dalam tuntutan mahkamah terhadap Rewcastle-Brown, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata tuntutan mahkamah dibuat bertujuan untuk mempertahankan maruah parti.
Beliau berkata PAS juga akan menyaman bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa yang mendakwa parti itu menerima cek RM90 juta daripada Umno.
Idris juga berkata parti itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana menamakan bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa sebagai salah seorang yang didakwa telah menerima wang berkaitan 1MDB.

