Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tuhan' bukan segalanya buat PAS, kata DAP
Diterbitkan:  May 1, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 5:02 AM

Keputusan PAS sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan PKR sekadar mahu menunjukkan lagak sombong dan ego parti berkenaan, kata seorang pemimpin DAP Johor.

Kata Sheikh Omar Ali, pada hakikatnya jauh di lubuk hati PAS parti itu tidak mahu kehilangan kuasa yang mereka ada di Selangor ketika ini.

"Dalam hal ini, saya berpendapat 'tuhan' bukan segalanya bagi PAS apabila mereka bertembung dengan isu kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Omar yang juga penolong setiausaha publisiti DAP Johor mengulas perkembangan terkini dibuat PAS semasa muktamar parti itu semalam.

Perhimpunan tahunan PAS menerima sebulat suara usul supaya tahaluf siyasi antara mereka dengan PKR diputuskan. Ia adalah proses formaliti selepas hubungan antara kedua-dua parti semakin renggang sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, PAS berkata, keputusan muktamad mengenai hal itu akan ditentukan Majlis Syura Ulama yang akan membincangkannya selepas ini.

Belum ada tarikh ditetapkan untuk perbincangan berkenaan.

Keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR mengundang tanda tanya kerana PAS sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali - seorang pemimpin kanan PKR.

Tiada arahan akan diberi

Kata Sheikh Omar, hujah PAS membuat ketetapan itu disandarkan kepada enam syarat digariskan Majlis Syura Ulama.

Namun, katanya, dia yakin bahawa apa hujah sekali pun yang dikemukakan PAS, akan 'terlondeh' juga apabila ia membabitkan isu kuasa.

"Di Selangor, kita sedia maklum bahawa jawatan exco adalah hasil lantikan di peringkat eksekutif kerajaan negeri.

"Selepas pilihan raya umum ke-12 dan ke-13, Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat dan menteri besarnya adalah dari PKR," katanya.

Dalam hal itu, kata Sheikh Omar, tidak guna PAS "terpekik terlolong" mahu memutuskan hubungan dengan PKR.

"Sekiranya PAS anak jantan dan bermaruah, wakil rakyat mereka yang menyandang jawatan exco dalam kerajaan Selangor mesti meletakkan jawatan," katanya.

Pun begitu, kata Sheikh Omar, dia tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku.

Katanya, sebarang ikrar dan kenyataan dibuat wakil PAS mengenai kesediaan mereka meletakkan jawatan tidak lebih daripada gimik semata-mata.

"Ia tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap exco PAS Selangor kerana saya yakin Majlis Syura Ulama dan pimpinan PAS Pusat tidak akan mengarahkan wakil rakyat mereka melepaskan jawatan exco berdalilkan pelbagai hujah dan alasan," katanya.

Lihat Komen
ADS