ADUN-ADUN negeri Selangor tetap setia kepada pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, kata ADUN Sementa Daroyah Alwi.

Beliau berkata tidak tahu menahu mengenai khabar angin mengatakan empat ADUN PKR bakal berpaling tadah untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu.

"Saya belum dengar mengenai perkara itu. Insya-Allah saya kekal pendirian bersama parti,"katanya menurut Sinar Harian hari ini.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei menyifatkan khabar angin itu sebagai "propaganda semata-mata".

DUN dibubar?

Sementara itu, Daroyah juga menafikan khabar angin bahawa Azmin akan mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN Pakatan Harapan minggu depan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Ini berikutan keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan PKR baru-baru ini.

“Berita itu pun kita belum lagi dengar. Lagipun, menteri besar sibuk dengan konvensyen minggu ini siri jelajah ke beberapa negeri.

“Malah, beliau juga akan akan bertolak ke Timur Tengah malam ini (semalam) untuk lawatan kerja di Maghribi, Jordan dan Mesir selama lima hari,” katanya.

Muktamar PAS secara rasmi meluluskan cadangan untuk memutuskan hubungan dengan PKR tetapi tertakluk kepada kelulusan majlis syura parti berkenaan.

Walaupun PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP dua tahun lalu dengan cara yang sama, parti Islam itu dan PKR tetap meneruskan kerjasama sehingga keputusan terbaru dibuat dalam Muktamar PAS ke-63, baru-baru ini.

Antara alasan diberikan Perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail ketika membentangkan usul berkenaan adalah kerana PKR menyokong AMANAH semasa pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lalu.

"Selain itu, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP menentang keras Pindaan Akta 355 ini.

"Dan kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan," jelasnya.