Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utamakan pekerja tempatan, kata PM
Diterbitkan:  May 1, 2017 2:08 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam membantu merealisasikan lima Lonjakan Transformasi Pekerja yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan akan menganjurkan pameran kerja Job Fair @ UTC 2.0 dan akan dilancarkan secara besar-besaran pada 20 Mei ini di 11 Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan empat Pusat JobsMalaysia seluruh negara yang akan menawarkan kira-kira 20,000 kekosongan jawatan melibatkan 300 majikan.

"Seboleh-bolehnya berilah peluang kepada pekerja warga Malaysia. Janganlah beri pekerjaan kepada warga asing sahaja. Berilah keutamaan kepada pekerja tempatan," katanya disambut dengan tepukan gemuruh 5,000 pekerja yang hadir mendengar amanat Hari Pekerja 2017 beliau, hari ini.

Najib berkata, satu daripada Lonjakan Transformasi Pekerja yang ditekankan ialah memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam iaitu kerajaan sedang mengkaji semula peranan JobsMalaysia Centre, supaya lebih interaktif, efektif dan mesra pelanggan serta dapat berperanan aktif sebagai pemudahcara dalam menjalankan padanan pekerjaan antara pencari kerja dan majikan.

Di bawah lonjakan transformasi pekerja itu juga, perdana menteri melancarkan OKU Talent Enhancement Programme (OTEP) bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran Orang Kurang Upaya (OKU).

Najib berkata sebagai permulaan di bawah inisiatif itu, syarikat Sentoria Group Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd masing-masing telah mengambil seramai 88 dan 66 golongan OKU untuk dilatih dalam pelbagai kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

Dalam amanatnya itu, perdana menteri turut berkongsi kisah kejayaan seorang OKU, Noorazizah Muhammad Zambri yang memajukan perniagaan Ariff Kasturi Enterprise dan menggaji tujuh pekerja OKU melalui geran lebih RM52,000 di bawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU.

Berhubung lonjakan transformasi mengoptimumkan modal insan serta memperkukuh perancangan dasar dan sistem gaji, beliau berkata kerajaan sedang giat mempromosikan amalan pelaksanaan Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti (PLWS).

Katanya langkah itu bagi mengatasi jurang pendapatan dalam masyarakat dan mengukuhkan sistem gaji dalam sektor swasta serta memastikan peningkatan gaji sepadan dengan produktiviti.

"Setakat April 2017 sahaja, hampir 81,000 majikan telah menerima pakai PLWS yang melibatkan kira-kira 3.5 juta pekerja.

"Kerajaan berharap agar sasaran 85,000 majikan melaksanakan PLWS yang akan memanfaatkan kira-kira 3.7 juta pekerja menjelang tahun 2020 akan berjaya dicapai," katanya.

Najib berkata kerajaan juga sedang membangunkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI), yang dijangka selesai pada Julai ini, sebagai penanda aras membantu majikan menentukan tahap gaji yang bersesuaian dengan kelayakan, kemahiran dan produktiviti pekerja.

"Saya ingin menyarankan kepada majikan dan pihak industri supaya mengguna pakai PLWS dan NWI serta buku panduan gaji kerana, jika pekerja dibayar gaji yang setimpal dengan kelayakan, pengalaman dan produktiviti, sudah pasti daya saing industri akan turut meningkat," katanya.

Menyentuh mengenai modal insan, katanya kerajaan akan terus memantapkan kerjasama dengan pihak swasta dalam menyediakan persekitaran kerja kondusif kepada pekerja wanita, termasuk mengkaji kemudahan cuti bersalin dan cuti paterniti kepada pekerja lelaki yang berkelayakan.

Perdana menteri berkata usaha kerajaan selama ini tidak sia-sia apabila kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh telah meningkat hampir 10 peratus daripada hanya 45.8 peratus pada tahun 2006 kepada 54.3 peratus pada tahun 2016.

Najib turut menarik perhatian terhadap inisiatif Maybank yang membenarkan pekerja wanita mengambil cuti bersalin sehingga tempoh setahun.

Di bawah lonjakan transformasi mengupayakan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) pula, beliau berkata lebih 80 peratus pelajar lepasan TVET telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Beliau mengambil contoh kejayaan lepasan TVET, Nurul Hafiza Mohamad Alias, yang telah membuka Hamega House of Printing, sebuah syarikat percetakannya sendiri di Puchong, Selangor.

Berhubung lonjakan transformasi mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pekerja serta golongan mudah terjejas, perdana menteri berkata beberapa langkah telah diambil antaranya pelaksanaan dasar gaji minimum kebangsaan.

Menurutnya, pemeriksaan berkanun ke atas lebih 121,000 majikan mendapati 98 peratus telah mematuhi dasar gaji minimum dan baki dua peratus lagi telah diberi notis pematuhan.

Di bawah program mengiktiraf pengalaman dan kepakaran pekerja berkemahiran melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) pula, hampir 125,000 pekerja telah dipersijilkan dalam pelbagai bidang kemahiran, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih baik, katanya.

Najib berkata pengiktirafan Persijilan Kemahiran Malaysia untuk memasuki perkhidmatan awam sejak 1 Julai 2016 pula telah membuka peluang kerjaya kepada pemegang dan graduan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia..

Turut dilaksanakan di bawah lonjakan transformasi pekerja itu ialah program Kembali Bekerja yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 2007 dengan kejayaan melebihi 70 peratus dalam membantu orang berinsurans yang ditimpa kemalangan untuk kembali semula bekerja, katanya.

Menurutnya program itu diperkukuhkan lagi melalui penubuhan pusat Rehabilitasi Perkeso pada 2014 yang merupakan pusat paling komprehensif dan satu-satunya di Asia Tenggara serta telah memberi manfaat kepada 1,373 peserta.

Beliau berkongsi contoh kejayaan Muhammad Hairuman Miskon, yang mengalami kecacatan fizikal akibat terkena renjatan elektrik dan berjaya menamatkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang Teknologi Maklumat dan telah diterima bekerja di Syarikat Efinite Value Sdn Bhd.

Turut ditekankan Najib dalam ucapannya ialah mengenai lonjakan transformasi yang bertujuan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial, antaranya melalui Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Bagi mendepani cabaran mendatang demi menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan berjaya, beliau menyarankan agar warga pekerja di negara ini terus melipatgandakan usaha untuk menjadi pekerja mahir yang kompeten, kreatif lagi berinovatif dengan menjana pendapatan tinggi.

Najib berkata, dunia kini di ambang gelombang Revolusi Perindustrian Keempat, yang datang dalam kombinasi pelbagai bentuk ejen perubahan seperti teknologi maklumat dan internet, robotik, teknologi nano, automasi dan percetakan 3D.

Menurutnya, berdasarkan kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang merangkumi 65 peratus tenaga kerja dunia, kira-kira 7.1 juta pekerjaan berpotensi untuk hilang dalam tempoh 2015-2020 berikutan pertindihan, automasi dan penghapusan peranan perantara.

Katanya kanak-kanak yang kini di peringkat sekolah rendah dijangka mengisi pekerjaan yang sebahagian besarnya tidak wujud pada hari ini.

Najib berkata langkah proaktif yang diambil untuk mendepani cabaran tersebut antaranya dengan menekankan mengenai Ekonomi Digital yang mampu mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Demi memastikan daya saing dan survival masa depan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-11, katanya kerajaan telah memberi penekanan kepada aspek inovasi dan produktiviti sebagai antara pemacu utama bagi menjana kekayaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, dengan jangkaan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.

Sambutan Hari Pekerja 2017 yang bertemakan "Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi" turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan ketua-ketua kesatuan sekerja sektor awam dan swasta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS