Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN fokus 4 isu utama pekerja M'sia
Diterbitkan:  May 1, 2017 3:27 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN), sempena Hari Pekerja 2017 akan mengetengahkan empat fokus isu pekerja Malaysia yang akan diberikan penyelesaian lebih baik sekiranya berjaya memegang tampuk kuasa.

Empat fokus tersebut ialah masalah peningkatan kos sara hidup, mengurangkan pengangguran anak muda, mempertahan hak pekerja sambilan dan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri.

"Sekiranya HARAPAN membentuk kerajaan pusat, kami akan hapuskan GST yang merupakan satu cukai regresif yang menzalimi rakyat terutamanya golongan miskin.

" Kami juga akan hapuskan kapitalisme kroni dan memastikan persaingan sihat dalam penyediaan pelbagai barangan dan perkhidmatan seperti beras, jalan bertol, perkhidmatan telco dan internet," kata HARAPAN.

HARAPAN berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi mengurangkan pengangguran di kalangan anak muda, HARAPAN telah mengarahkan jawatankuasa manifesto dan dasar pakatan untuk bertemu dengan pelbagai kumpulan sasar serta pihak berkepentingan pada Mei ini.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk mewujudkan pelan tindakan untuk mengurangkan pengangguran anak muda di bawah kerajaan HARAPAN, tambahnya.

Pada masa yang sama, bagi menjaga Hak pekerja sambilan terutama pemandu teksi dan 'e-hailing', HARAPAN akan menggubal Rang undang-undang khusus buat pemandu 'e-hailing' tanpa mengabai nasib dan kebajikan para penandu teksi serta lain-lain pekerja sambilan.

Untuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri pula, bagi jangka masa pendek, HARAPAN berjanji membantu untuk memudahkan proses perjalanan pekerja Malaysia di antara Johor dan Singapura.

"Bagi jangka masa panjang, HARAPAN akan berusaha untuk menghidupkan semula ekonomi negara untuk memastikan lebih ramai pekerja Malaysia akan memilih untuk bekerja di Malaysia berbanding di luar negara," jelas mereka.

Lihat Komen
ADS