Paling Popular
Terkini

Walaupun tidak terpilih sebagai naib presiden, Nasruddin Hassan berkata beliau tidak akan berganjak daripada perjuangannya, apa lagi 'lari' meninggalkan PAS.

Menamakan kumpulan yang meninggalkan PAS selepas muktamar dua tahun lalu itu sebagai G18 (Kumpulan 18), Nasruddin berkata, walaupun tidak terpilih namun beliau akan terus memberi komitmen tinggi kepada perjuangan Islam digerakkan PAS.

G18 merujuk kepada kumpulan bekas pimpinan PAS yang meninggalkan parti itu selepas tersingkir daripada pelbagai jawatan peringkat pusat pada pemilihan muktamar ke-61.

Antara tokoh yang meninggalkan PAS ialah Mohamad Sabu yang sebelum itu menduduki jawatan timbalan presiden, Salahuddin Ayub (naib presiden) dan Hanipa Maidin (anggota jawatankuasa pusat).

Kata Nasrudin yang turut dikenali dengan gelaran Tantawi itu, gagal terpilihnya dalam senarai naib presiden tidak menjejaskan semangat juangnya bersama Islam.

"Saya akan terus memberi komitmen tinggi kepada perjuangan Islam yang digerakkan oleh PAS, serta saya sekali-kali tidak akan mengikut jejak langkah G18 yang lari meninggalkan PAS selepas tewas.

"Berapa pun jumlah yang meninggalkan PAS seketika dulu, tidak menjadikan PAS lemah, malah makin utuh, tenang dan mantap," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dalam pemilihan PAS Pusat, Nasruddin gagal merebut jawatan naib presiden dengan hanya mendapat 478 undi berbanding tiga yang lain.

Malah, selepas pemilihan ini juga, anggota parlimen Temerloh itu tidak lagi memegang sebarang jawatan di peringkat pusat.

Katanya, beliau kini sekadar ahli biasa PAS.

"PAS akan terus maju ke hadapan dengan kumpulan kepimpinan yang lebih mantap dan saya akan terus bersama mendukung kepimpinan mereka untuk memacu perjuangan Islam meskipun hanya sebagai ahli biasa," katanya.

Lihat Komen
ADS