Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ingat, Melayu Kelantan bijak dan boleh berubah

PAS diingatkan supaya jangan terlalu yakin kerana pengundi Kelantan adalah rakyat paling bijak dalam politik, kata Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam politik, pengundi Kelantan - sebahagian besarnya adalah Melayu - boleh membuat keputusan berbeza pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya.

Katanya, orang Melayu Kelantan berbeza dengan Melayu di negeri lain yang kebanyakannya sukar berubah dalam pegangan politik.

"Saya lihat orang Melayu Kelantan ini sedang memerhatikan, menjadi pemerhati kepada kehadiran dan gelagat semua parti, termasuklah Parti Amanah Negara (AMANAH)," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai keyakinan seorang pemimpin PAS Kelantan tentang masa depan parti itu menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Kata Abdul Ariffahmi Abd Rahman, AMANAH tidak akan memenangi walau satu kerusi pun pada PRU akan datang.

Beliau yang kini menjawat tugas sebagai Ketua Penerangan PAS Machang berkata parti itu mempunyai strategi tersendiri untuk melanjutkan usia pentadbiran mereka yang bermula sejak 1990 lalu.

Pada masa sama, kata Ariffahmi, AMANAH pula bergantung kepada DAP untuk mendapatkan kerusi.

Untuk rekod, Ariffahmi adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan menantu kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namanya menjadi perhatian pada fasa awal keretakan hubungan antara golongan konservatif dalam PAS dengan sebahagian pimpinan parti itu yang kemudian melahirkan AMANAH.

Salahuddin memang anak kelahiran Pontian, Johor, dan kini menjadi timbalan presiden AMANAH. Walaupun begitu, beliau mempunyai sejarah tersendiri dengan pengundi di Kelantan kerana pernah menjadi anggota parlimen Kubang Kerian.

Sekarang ada kelemahan

Jawatan terakhirnya sebelum tersingkir dari PAS ialah naib presiden parti berkenaan.

Mengulas lanjut kenyataan Ariffahmi, Salahuddin berkata, ia mungkin bertitik tolak daripada perasaan dendam.

"Kalau PAS nak tanamkan sentimen bahawa kami (AMANAH) khianat kepada parti, mereka boleh sebut apa saja tetapi dalam politik realitinya berbeza sama sekali.

"Kita perlu melihat pada gambaran lebih besar, secara menyeluruh dan perkembangan yang berlaku hari ini," katanya.

Mengakui tidak berani menyatakan AMANAH akan merampas Kelantan, Salahuddin berkata, berdasarkan suasana semasa, mereka mempunyai peluang menggantikan PAS.

Keyakinan bahawa PAS akan kekal selama-lamanya di Kelantan, kata Salahuddin, adalah pola pemikiran daripada paradigma lama.

Beliau juga mengingatkan PAS menguasai Kelantan pada PRU kelapan pada 1990 adalah dengan bantuan parti yang baru ditubuhkan hasil krisis dalaman Umno, Semangat 46.

Kesediaan majoriti pengundi Kelantan menolak BN, katanya, adalah bukti bagaimana orang Melayu di negeri itu boleh berubah dan menentukan sikap pada waktu berkenaan.

"AMANAH sekarang ini melihat ada kelemahan dalam pentadbiran PAS dan ia menjadi kegelisahan rakyat di negeri itu. Dan memang majoriti rakyat Kelantan menolak Umno. Kehadiran AMANAH benar-benar memberi pilihan baru kepada rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS