Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS kata Guan Eng sesat lagi menyesatkan
Diterbitkan:  May 2, 2017 6:59 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Selepas dituduh sesat, Pemuda PAS hari ini mengembalikan dakwaan itu kepada Lim Guan Eng.

Lebih daripada itu, Pemuda PAS mendakwa setiausaha agung DAP itu turut menyesatkan "beberapa pihak" yang didakwa selama ini bersama PAS.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Lim juga beberapa kali menuduh bahawa sebarang undi yang diberikan kepada parti itu bermakna ia menyokong BN.

"Menyifatkan bahawa mengundi PAS sama dengan mengundi Umno secara realitinya telah mengisytiharkan PAS sebagai musuh, kerana bukankah selama ini tuan (Lim) tidak pernah berganjak daripada menyatakan bahawa Umno ialah musuh utama?

"Bermusuh dengan Umno sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin PAS sepentas dengan pemimpin Umno (walaupun tuan sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan)," katanya.

Itu pun, kata Ahmad Fadhli, belum mengambil kira pelbagai serangan yang ditujukan ketua menteri Pulau Pinang itu kepada PAS ketika mereka bermuktamar.

"Bukankah tuan yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada ketika kita masih bergelar 'rakan'? Bukankah itu nama tikam belakang ketika seluruh ahli PAS sedang menumpukan perhatian untuk bermuktamar?" katanya.

Berbahaya dan berisiko

Ahmad Fahdli mengulas kenyataan Lim yang disiarkan Malaysiakini semalam.

Lim membuat kenyataan berkenaan ekoran tindakan PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama mereka pada pilihan raya umum ke-14 ini.

Bagaimanapun untuk rekod berita Malaysiakini itu memetik laporan Bernama.

Ahmad Fadli berkata, kenyataan mengisytiharkan DAP Sebagai musuh utama PAS tidak dibuat mana-mana pimpinan utama di atas pentas muktamar.

"Ia hanyalah kenyataan yang disebut oleh salah seorang perwakilan sahaja dan tidak bererti ia merupakan pendirian parti.

"Muktamar PAS berjalan dengan semangat demokratik dan membenarkan para perwakilan melontarkan pandangan tanpa perlu menggelarkan dirinya sebagai parti demokratik," katanya.

Ahmad Fadhli juga menegaskan PAS tidak pernah menyatakan sokongan kepada Umno atau BN kecuali bersama mereka pada isu tertentu saja.

"Tuan, better to have an enemy who slaps you in the face than a friend who stabs you in the back.. (lebih baik memiliki seorang musuh yang menampar muka anda berbanding rakan yang menikam dari belakang).

"Memiliki rakan seperti parti tuan yang terkenal dengan arrogant adalah satu langkah yang amat berbahaya dan berisiko," katanya dalam nada menyindir.

Lihat Komen
ADS