Malaysiakini tidak buat pembelaan ‘reportage’, kata peguam
Portal berita Malaysiakini tidak membuat pembelaan berhubung reportage atau pelaporan tetapi hanya membangkitkan isu itu semasa penghujahan di Mahkamah Tinggi, kata Raub Australian Gold Mine (RAGM) di Mahkamah Rayuan hari ini.
Namun, peguam kanan RAGM Tan Sri Cecil Abraham memberitahu panel rayuan tiga anggota, bahawa Mahkamah Tinggi memutuskan untuk menerimanya.
Beliau berhujah bahawa pembelaan reportage sepatutnya dibuat secara berasingan daripada pembelaan qualified privilege atau hak keistimewaan, yang dipetik dalam pembelaan Malaysiakini, dalam saman fitnah yang difailkan oleh syarikat lombong emas berkenaan.
Oleh itu, peguam kanan tersebut berkata mahkamah rayuan perlu membenarkan kes anak guamnya.
Syarikat itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 23 Mei tahun lalu dakwaan RAGM ke atas Malaysiakini dan tiga defendan lain.
Dalam hujahnya, Cecil berkata, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa tiga artikel dan dua video terbitan portal itu, yang dihasilkan mengenai anak guamnya berhubung aduan oleh penduduk kampung Bukit Koman di Raub, Pahang, berunsur fitnah, tetapi menerima hujah pembelaaan.
"Tidak ada rayuan balas oleh mereka (Mkini Dotcom Sdn Bhd) di mahkamah berhubung keputusan artikel itu sebagai memfitnah, dan dengan itu mahkamah perlu menerima keputusan Mahkamah Tinggi," katanya ketika menjawab soalan Hakim Datuk Mary Lim.
RAGM memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini pada bulan September 2012.
Syarikat itu berkata artikel yang disiarkan oleh portal berita berkenaan telah merosakkan reputasinya.
Dakwaan bahawa sianid natrium yang digunakan untuk pengekstrakan emas adalah berbahaya kepada penduduk Bukit Koman, bagi syarikat itu adalah tidak berasas.

