Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'ROS sentiasa pantau setiap perjalanan pertubuhan'
Diterbitkan:  May 2, 2017 8:55 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Pertubuhan berdaftar hendaklah mendokong sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan menjadikannya kewajipan untuk mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah perlembagaan itu dalam mengendalikan perjalanan pertubuhan masing-masing, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah.

"Perlembagaan Persekutuan merupakan teras dan sumber kepada perundangan tertinggi negara kita. Ianya hendaklah diikuti dan dipenuhi sepenuhnya oleh setiap rakyat Malaysia termasuklah pihak pertubuhan terutama parti-parti politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada gesaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar Pendaftar Pertubuhan mengkaji status semua parti politik di negara ini yang dikhuatiri melanggar ketetapan Perlembagaan, Mohammad Razin berkata ROS sentiasa memantau setiap perjalanan pertubuhan.

Pemantauan itu bukan sahaja mengenai pengendalian mesyuarat agung tahunan tetapi juga dari segi pengawasan beberapa dokumen pertubuhan termasuk peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan sesebuah pertubuhan, katanya.

Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan mana-mana pertubuhan yang melanggar peruntukan dalam perlembagaan masing-masing, dan mana-mana peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada tindakan perundangan sedia ada termasuklah di bawah Akta (Pertubuhan 1966) itu, katanya.

"Pendaftar Pertubuhan sentiasa mengambil langkah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan perundangan yang dilakukan oleh mana-mana pertubuhan terutama tindakan-tindakan yang bercanggah dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hadi pada sesi penggulungan sempena penutupan Muktamar PAS Ke-63 di Alor Setar, Kedah semalam dilaporkan menyarankan siasatan itu dilakukan oleh ROS bagi memastikan tiada parti politik di negara ini melanggar batas sempadan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS