Seorang warga Turki yang dikhuatiri diculik dari kawasan meletak kereta di Kuala Lumpur, kini dilaporkan ditahan polis.

Melalui Twitter, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan Turgay Karaman dan Ihsan Aslan ditahan kerana terlibat dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

Menurut Khalid, kedua-dua lelaki warga Turki itu ditahan mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kuasa kepada polis menyiasat perbuatan berkaitan keganasan.

Malam tadi, seorang lagi warga Turki, Suheyl Ozcelik, membuat laporan polis mengenai Karaman, 47, selepas melihat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pengetua sebuah sekolah antarabangsa itu dilarikan dengan kereta oleh empat lelaki di kawasan parkir.

Karaman sepatutnya berjumpa Ozcelik dan peguamnya di Damansara pada jam 4.30 petang semalam.

Apabila Ozcelik tiba di tempat yang dipersetujui itu bersama dua yang lain kira-kira jam 4.25 petang, mereka ternampak kereta Karaman di kawasan parkir dan terus ke pejabat firma guaman di situ untuk bertemu.

Pertemuan itu berlangsung seperti dirancang namun Karaman tidak hadir. Ozcelik membuat beberapa panggilan telefon dan menghantar mesej teks kepada lelaki terbabit namun semuanya tidak dibalas.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Ozcelik membuat laporan polis. Dalam laporan itu dia mendakwa meminta pengawal keselamatan bangunan itu menunjukkan rakaman CCTV di tempat kejadian.

Karaman sepatutnya menjadi saksi bagi perbicaraan kes jenayah membabitkan bapa Ozcelik di Malaysia.

Ketika dihubungi, peguamnya, Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani mengesahkan kejadian itu dan laporan polis sudah dibuat.

Bapa Ozcelik, Ismet Ozcelik, seorang pengarah universiti Turki yang dilaporkan ditahan jabatan imigresen pada 13 Disember lalu walaupun ketika itu memiliki pas lawatan yang sah.

Ismet didakwa 10 hari kemudian atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penjawat awam apabila dia dan anaknya menghubungi polis ke kediaman mereka semasa seorang pegawai imigresen pergi ke situ bagi merampas pasportnya.

Walaupun Ozcelik dan keluarganya cuba mendapatkan ikat jamin untuk Ismet, pihak berkuasa tidak membebaskan lelaki terbabit, manakala pas lawatannya dibatalkan.

Kerajaan Turki juga membatalkan pasport Ismet.

Ismet hanya dibebaskan selepas ditahan selama 53 hari di Penjara Sungai Buloh dan kad pelarian dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) kepadanya.

Perbicaraan Ismet dijadual diadakan di mahkamah majistret hari ini.

[Baca berita penuh]